Saksi, Mohd Ikram (kiri) berbincang sesuatu dengan Dr Abdul Aziz (kanan) ketika hadir perbicaraan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 24 DISEMBER 2019

SHAH ALAM – Adik-beradik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasat yang pertama terhadap mangsa.

Ia kerana laporan pertama bercanggah dengan keterangan anggota bomba semasa perbicaraan yang mengatakan tentang penemuan sisa petrol dalam bilik tidur mangsa pada 14 Jun tahun lalu.

Menyifatkan hasil bedah siasat pertama itu tidak lengkap, mereka bersetuju agar ia dilakukan sekali lagi.

Demikian kata saksi ke-18 yang merupakan salah seorang abang allahyarham, Dr Abdul Aziz Hassan kepada Mahkamah Tinggi hari ini.

“Perkara pokoknya, post mortem yang pertama kami rasakan tidak lengkap kerana saya sendiri dimaklumkan oleh Samirah (Muzaffar) bahawa sebab-sebab kematian berdasarkan post mortem adalah blast injuries.

“Ketidakpuasan hati itu adalah macam mana pihak bomba kata telefon bimbit tidak meletup tapi post mortem kata blast injuries bagi kami itu yang memerlukan disiasat lebih mendalam,” katanya.

Justeru, tambah Abdul Aziz, mereka sekeluarga sepakat untuk membuat permohonan bedah siasat kali kedua agar siasatan lebih mendalam dapat dilakukan menerusi laporan polis yang dibuat oleh abangnya, Dr Malik Hassan.

“Laporan polis abang saya (Malik) ketidakpuasan hati adik-adik terhadap post mortem pertama dan meminta ia dibuat semula seingat saya,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu dilaporkan keputusan makmal mendapati terdapat kesan minyak petrol dijumpai pada empat lokasi di kepala, bingkai katil, tilam dan telefon bimbit allahyarham.

Sehubungan itu polis mengklasifikasikan kematian CEO Cradle Fund pada 14 Jun lalu itu sebagai kes bunuh.

Abang Nazrin yang merupakan saksi ke-18 perbicaraan hari ini juga mendedahkan yang beliau pernah bertanyakan tentang harta dan aset yang ditinggalkan oleh adiknya kepada Samirah.

Pertanyaan itu jelasnya diajukan kerana prihatin terhadap anak-anak yang ditinggalkan oleh Nazrin dan balu adiknya.

Pada waktu itulah ujar beliau, Samirah memaklumkan tentang insurans yang dimiliki oleh Nazrin selain caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Sebelum ini saya peguam tuntutan harta pusaka dan insurans. Perbincangan kami tentang tuntutan harta pusaka secara menyeluruh dan aset. Tak banyak yang dibincangkan bukan dalam satu mesyuarat serius tapi sambil lalu sahaja.

“Selepas tahlil, perbincangan tentang saya tanya ada harta aset sebab Nazrin ada anak-anak kecil Nazrin, jadi saya bertanyakan itu tentang apa yang saya boleh bantu untuk mempercepatkan bertanya sebab prihatin. Samirah berkata, ada insurans, EPF (KWSP)” tambahnya.

Namun beliau tidak ingat jumlah insurans yang boleh dituntut oleh waris arwah adiknya sebaliknya menganggarkannya bernilai kira-kira RM1 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman ditangguh kepada Khamis ini.-MalaysiaGazette