tommy AIAC
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tidak menolak kemungkinan membuka semula kertas siasatan kes Altantuya Shaariibu.

Ia termasuk dakwaan terbaru melibatkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Memetik laporan Bloomberg, Tommy menyifatkan semua orang menyedari tidak masuk akal jika hanya dua pegawai polis dari Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar yang juga pengawal pengiring Najib disabitkan kesalahan membunuh wanita berkenaan pada tahun 2006.

“Tidak masuk akal hanya dua pegawai polis sahaja dipersalahkan. Kita tahu bahawa cerita ini tidak lengkap,” katanya dalam satu wawancara bersama Bloomberg pada 20 Disember lalu yang disiarkan hari ini.

Tommy berkata, pihaknya akan meneliti sama ada siasatan dibuka semula susulan mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Azilah dan Sirul yang dilihat tidak mempunyai motif meyakinkan dan akuan bersumpah (SD) terbaru oleh Azilah menunjukkan ada fakta terhadap sebab pembunuhan.

“Lebih banyak untuk polis melakukan siasatan dan kami akan melihatnya,” katanya.

Azilah sebelum ini memohon Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya dengan membuat satu kenyataan bersumpah.

Melalui kenyataan bersumpah itu, Azilah menuduh Najib mengarahkannya untuk menangkap dan menghapuskan mangsa kerana mendakwa Altantuya merupakan pengintip antarabangsa dan membahayakan keselamatan negara.

Najib menafikan penglibatannya dan telah melakukan sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette