Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) hanya melibatkan pelantikan baharu mulai 1 Januari 2020.

Bagaimanapun, penerima BIPK sedia ada tidak terjejas dengan pemansuhan ini dan pembayaran BIPK secara khas untuk penyandang (KUP) mengikut kadar sedia ada seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 117 Tahun 2007 sehingga meninggalkan perkhidmatan.

Jabatan Perkhidmatan Awam berkata, bagi pegawai yang berkhidmat secara kontrak dan pelantikan semula melalui kontrak baharu adalah secara terus-menerus dan tidak terputus tempoh perkhidmatannya, maka masih layak menerima BIPK dalam perkhidmatan kontraknya.

Walau bagaimanapun, beberapa elaun termasuk BIPK telah dimansuhkan, kajian elaun sentiasa dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa oleh JPA.

Malah, katanya, kerajaan masih mempertimbangkan pemberian elaun jika terdapat mana-mana skim perkhidmatan disiplin tertentu yang memenuhi kriteria pemberian elaun yang ditetapkan.

“Diharapkan penjelasan ini dapat memberi gambaran sebenar tentang pelaksanaan BIPK kepada anggota perkhidmatan awam yang terlibat dan seterusnya dapat memberikan perkhidmatan lebih cemerlang kepada rakyat,” kata JPA dalam satu kenyataan di sini.

BACA: Mansuh elaun: Penjawat awam bertambah malang

Semalam tular berita pemansuhan elaun kritikal antara lain membabitkan bidang perubatan sehingga menimbulkan kegusaran penjawat awam.

Perkara tersebut turut menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membantah keputusan tersebut.

Beliau sanggup menyerahkan semula elaunnnya dan berpandangan sepatutnya elaun para menteri dan ahli politik yang dipotong dan bukannya elaun kritikal penjawat awam terutamanya yang membabitkan para doktor dan jururawat.

BIPK mula diperkenalkan semasa Sistem Saraan Baru (SSB) pada tahun 1992.

Secara prinsipnya, tahap kritikal sesuatu perkhidmatan akan berubah mengikut keadaan dan keperluan berdasarkan kepada penawaran dan permintaan sesuatu disiplin perkhidmatan dalam pasaran semasa.

Ini bermakna sesuatu perkhidmatan kritikal boleh berubah menjadi kurang kritikal dan sebaliknya.

Atas hakikat ini, kajian penilaian teliti berterusan adalah perlu bagi pelaksanaan perkhidmatan kritikal.

Selaras dalam Laporan SSB, kajian mengenai BIPK secara berterusan dilaksanakan setiap lima tahun bagi menentukan kewajaran pembemberian.

BACA: Syed Saddiq pulangkan elaun, protes pekeliling JPA

Secara prinsip, pemberian BIPK adalah tidak kekal serta boleh ditarik balik apabila skim-skim perkhidmatan berkenaan tidak lagi kritikal.

JPA berkata, setelah BIPK dilaksanakan selama 27 tahun, kajian BIPK telah dilaksanakan hanya tiga kali iaitu pada tahun 1997, 2001 dan 2007.

Selepas semakan pada tahun 2007, kajian terbaharu dilaksanakan pada tahun ini dan didapati kesemua 33 skim perkhidmatan yang diperuntukan dengan BIPK tidak lagi menepati pemberian asal BIPK iaitu skim-skim berkenaan tidak lagi kritikal.

Ini kerana ia tidak lagi memenuhi kriteria ciri-ciri penawaran yang rendah serta pengisian jawatan yang sukar dilakukan. – MalaysiaGazette