Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan (KPM), Dr Habibah Abdul Rahim bercakap pada Forum Jawi : Saling Memahami anjuran Gabungan Bertindak Malaysia @ KLSCAH di KL and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan tulisan Jawi akan hanya melibatkan pembelajaran tiga muka surat di dalam buku mata pelajaran Bahasa Melayu untuk tahun empat, lima dan enam.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan (KPM), Dr Habibah Abdul Rahim berkata, tiga muka surat itu tidak akan merubah pembelajaran dalam Bahasa Melayu.

Malah, katanya tulisan itu hanya akan memaparkan tiga aspek pembelajaran mengenai beberapa perkara melibatkan warisan negara.

“Kita akan hanya berada pada tahap 3 muka surat. Tapi berbeza pada tahun belajar.

“Bagi tahun empat mereka akan belajar mengenai simpulan bahasa, setem, mata wang, Tahun 5 antara cadangannya adalah pembelajaran mengenai tugu negara, papan tanda jalan dan label halal, manakala Tahun 6 akan belajar mengenai kad ucapan raya, papan tanda universiti dan artifak bersejarah yang semuanya dalam tulisan jawi.

“Pembelajaran Jawi tidak akan merubah pembelajaran rumi (Bahasa Melayu), kita cuma ingin meningkatkan pembelajaran tulisan Jawi dalam Bahasa Melayu,” katanya selepas menjadi ahli panel dalam Forum Jawi: Saling Memahami anjuran Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dekat Kampung Attap, sebentar tadi.

Hadir sama Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Ng Chai Heng, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Ab), Muhammad Faisal Abdul Aziz, wakil Tamil Foundation, K Arumugam dan Naib Presiden Ikram, Prof Badlishah Sham.

Mengulas lanjut, Dr Habibah berkata, ada sebab tertentu untuk KPM menggubal kokurikulum terhadap pelaksanaan tulisan Jawi.

Ujarnya, KPM juga peka dan sensitif kepada perkara yang timbul berkaitan isu ini.

“Antara kerisauan yang timbul adalah disebabkan oleh isu Islamisasi. Ng Chai Heng tadi kata ada belajar Jawi tapi saya tidak rasa dia terpengaruh dan memeluk Islam.

“Sebaliknya sama juga anak-anak belajar Jawi akan menukarkan agama dan fahaman mereka. Ia lebih kepada sifat menghargai warisan seni budaya Melayu,” katanya lagi.

Pada Ogos lalu, Kabinet memutuskan untuk mengekalkan keputusan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah Tahun 4 di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan mulai 2020 diteruskan.

Bagaimanapun, ia perlu mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa.

Disebabkan itu, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mengulangi pendirian mahu meneruskan persidangan isu tulisan Jawi di sekolah vernakular yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini di Kajang.

Ahli jawatankuasa Dong Zong, Low Chee Chong berkata, persidangan itu menggantikan perkataan kongres dan setakat ini lebih 100 pertubuhan Cina di seluruh negara menyatakan persetujuan mereka untuk hadir. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Hampir 2 tahun ph jadi kerajaan pelbagai2 mslh jadi..NGO2 ini sudah mula naik tocang…dah bunyi..sbb di belakang dia org puak2 kafir harbi laknat dapig ni…

Comments are closed.