Tertuduh, Rahmat Hasrah Abdul Razak, 25, yang beralamat di Pasir Mas, Kelantan dengan tenang mengaku memahami pertuduhan terhadapnya, yang dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz. 

KUANTAN – Selepas lebih tiga tahun melarikan diri, seorang bekas pekerja ladang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, bagi menghadapi pertuduhan membunuh penyelianya yang didakwa berlaku pada 2016.

Tertuduh, Rahmat Hasrah Abdul Razak, 25, yang beralamat di Pasir Mas, Kelantan dengan tenang mengaku memahami pertuduhan terhadapnya, yang dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Tertuduh yang memakai seluar pendek dan t-shirt putih, didakwa membunuh Zakaria Tahir, 57, pada 2.30 petang, 7 Okt 2016 di dapur rumah di sebuah kebun di Batu 16, Kampung Sri Fajar, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh ditahan pada 12 Dis lalu, di sempadan Malaysia-Thailand dan dia dipercayai melarikan diri ke negara jiran tersebut, selepas kejadian.

Nordiana menetapkan 28 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula, bagi mendapatkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA).

— BERNAMA