Liverpool hanya dibenarkan memakai lencana juara dunia kelab dalam aksi EPL menentang Wolves di Anfield malam esok.

LONDON – Liverpool diberi kebenaran oleh Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk memakai lencana emas pemenang Piala Dunia Kelab FIFA.

Namun, kelulusan itu hanya dibenarkan untuk satu perlawanan sahaja oleh EPL ketika menentang Wolverhampton di Anfield pada 29 Disember ini.

The Reds bimbingan Jurgen Klopp mengemukakan rayuan kepada EPL sejurus selepas menjulang piala minggu lalu menundukkan Flemingo 1-0 yang berlarutan hingga masa tambahan.

Kini Liverpool mengejar masa untuk mendapatkan jersi khas.

Sebelum ini dalam rayuan itu, the Reds meminta kelulusan EPL supaya lencana itu boleh dipakai dalam semua aksi liga domestik sebagai membuktikan EPL satu liga yang profesional dan kompetitif.

Peraturan semasa memperuntukan hanya mesej berunsur komuniti sahaja dibenarkan untuk ditampal pada jersi kelab pada pertengahan musim EPL.

Setakat ini tidak ada sebarang bayangan positif sama ada mereka akan dibenarkan memakai lencana itu secara tetap sepanjang musim 2020.

Real Madrid sebelum ini merupakan juara dunia kelab bagi edisi 2016, 2017 dan 2018 dibenarkan memakai lencana itu ketika beraksi dalam La Liga.

Untuk membolehkan Liverpool memakai lencana itu dalam aksi Piala FA, ia perlu mengemukakan permohonan berasingan kepada Persatuan Bola Sepak England.

Liverpool menerima kunjungan Everton dalam pusingan ketiga FA pada 5 Januari ini.

Sebelum ini Manchester United yang merupakan satu-satunya kelab Inggeris yang muncul juara dunia kelab FIFA pada 2008 dinafikan mengenakan lencana pada jersi mereka. -MalaysiaGazette