Chong Sin Woon

KUALA LUMPUR – Pelawaan Pas yang bersedia berdialog dengan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan MCA akan dibawa ke meja perbincangan parti itu tidak lama lagi.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon, pihak parti itu telah mengambil maklum akan saraan rakan sejawatnya, Datuk Takiyuddin Hassan yang menyatakan kesediaan Pas berjumpa dan berbincang dengan MCA.

“Kami belum lagi membuat keputusan berkenaan dengan perkara ini.

“Walau bagaimanapun, perkara ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Presiden pada masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sin Woon berkata demikian selepas Takiyuddin menghulur tangan penyelesaian kepada Dong Jiao Zong serta MCA bagi menyelesaikan isu bantahan pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan China dan Tamil.

Takiyuddin juga berkata yakin cara itu akan dapat menghilangkan prejudis dan pertikaian yang tercetus dalam masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum.

Menurut Sin Woon lagi, MCA sentiasa mengambil pendirian terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak mengenai isu-isu berkaitan kehamonian, pendidikan, sosial dan sebagainya yang melibatkan kepentingan rakyat.

“MCA turut mengingatkan dialog diadakan mengenai subjek pengajaran tulisan Jawi di SJKC dan SJKT, kerana ia melibatkan isu yang sensitif dalam masyarakat yang berbilang kaum.

Kesediaan Pas untuk bertemu dan berdialog dengan MCA dan juga Dong Jiao Zong juga selaras dengan pendirian MCA bahawa segala perselisihan boleh diselesaikan melalui pertincangan yang matang dan telus,” katanya lagi.

Dong Zong sebelum ini dilaporkan menggesa pertubuhan Cina lain mendaftar untuk menghadiri kongres dijadual berlangsung Sabtu ini bagi menyuarakan bantahan terhadap pengenalan tulisan jawi di sekolah vernakular kerana didakwa bertentangan dengan keputusan Kabinet dan Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP).

Perkara itu turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengingatkan Dong Zong bahawa penganjuran kongres berkenaan akan membawa kepada kekacauan dan ‘reaksi’ orang Melayu.

“Kita adalah sebuah negara yang berbilang kaum, adalah penting bagi kita untuk mengambil berat tentang perasaan orang lain,” katanya. -MalaysiaGazette