TEHRAN – Media antarabangsa Iran melaporkan Angkatan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) telan merampas sebuah kapal tangki minyak asing yang didakwa membawa minyak secara haram dan menahan anak kapalnya.

Laporan semalam itu tidak menyebut negara pemilik kapal tersebut.

Bagaimanapun Iran berkata, kapal tersebut membawa lebih 1 juta liter bahan bakar dan ditahan berhampiran Pulau Larak di Selat Hormuz kelmarin, menurut kenyataan media PRGC yang dipetik agensi berita, Fars.

Beberapa laporan mencadangkan terdapat 16 anak kapal warga Malaysia di atas kapal, manakala laporan lain menyatakan 12 anak kapal ‘warga asing’ ditahan bersama kapal tersebut.

Setakat ini, tiada pengesahan dilakukan oleh syarikat perkapalan, pihak berkuasa perkapalan ataukerajaan asing mengenai penahanan itu.

Pasukan tentera laut Iran sering kali memintas kapal-kapal kecil di Teluk Parsi dan Selat Hormuz kerana mendakwa menyeludup minyak.

Bagaimanapun, tentera Iran juga telah merampas beberapa kapal tangki asing pada tahun ini yang mana beberapa pihak menyifatkan tindakan itu sebagai gangguan ‘tindak balas’ perkapalan global menerusi sekatan yang dikenakan pada tahun lalu bagi menghalang pengeksportan dan akses minyak Iran ke pasaran antarabangsa.

Sebelum ini, pihak berkuasa barat merampas dan melepaskan sebuah kapal tangki minyak Iran yang disyaki cuba menghantar bahan bakar ke Syria.

Kelmarin, para pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata, pihaknya berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap kemungkinan tindak balas selepas serangan udara dilakukan AS pada hari sebelumnya ke atas lima sasaran di Iraq dan Syria yang dikuasai militan Iraq yang disokong Iran, Kataib Hizbullah. – Agensi