Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun (dua kanan) bersama Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen P.176 Kimanis, Jupari@Jupry Etok (kiri) menunjukkan peta kawasan Pilihan Raya Kecil pada sidang media PRK Parlimen P.176 Kimanis di Menara SPR, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil inisiatif untuk menghantar kad pengundi kepada 29,663 orang pengundi yang meliputi 29,654 orang pengundi biasa dan 9 orang pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah.

Menurut Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, ia adalah usaha bagi menggalak serta memudahkan pengundi keluar mengundi.

Azhar Azizan berkata, kad pengundi itu mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi yang akan memudahkan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab keluar pada hari mengundi awal iaitu 14 Januari dan hari mengundi biasa pada 18 Januari depan.

“Pengundi yang telah menerima voter’s card tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut.

“SPR telah mengedarkan voter’s card mulai 30 Disember 2019 kepada semua pengundi bagi PRK Parlimen P.176 Kimanis, Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa voter’s card atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

Tambah Azhar Azizan, mana-mana pengundi yang tidak menerima kad pengundi berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan di portal SPR www.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak.

Beliau berkata, pengundi juga boleh menyemak melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR SEMAK NOMBOR KAD PENGENALAN) dan hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018.

PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu bertindak mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut, sekaligus menjadikan ia PRK ke-10 selepas PRU14.

Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.

Beliau memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail menerima 1,300 undi. – MalaysiaGazette