Bekas anggota UTK, Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu bergambar dihadapan flat kediamannya di Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2019.

SEKALI imbas tidak ada apa yang ‘luar biasa’ pada lelaki tua berusia 75 tahun ini. Rutin hariannya hanyalah mundar mandir di sekitar kawasan rumah pangsanya yang terletak di tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Adakalanya untuk menghilangkan kebosanan, beliau menunggang motorsikal kapcai pemberian anaknya. Itu pun bukan sekali dia pernah terjatuh daripada motorsikal tersebut. Pernah sebelah siang dimasukkan ke wad, malam hari beliau nekad pulang sendiri ke rumah.

Bekas anggota UTK, Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu memakai topi keledar sebelum menunggang motorsikal untuk menuju ke Penjara Pudu dimana lokasi sejarah hidupnya selepas berjaya menumpaskan banduan yang menculik dua pembantu kesihatan di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2019.

Anak-anaknya pun sudah ‘masak’ dengan perangai bapa mereka. Tak boleh duduk diam – istilah tepatnya.

Namun tak ramai tahu ‘sejarah’ lelaki tua ini. Malah jiran berdekatan pun ramai tidak menyedari yang beliau sebenarnya adalah penerima pingat keberanian kedua tertinggi negara, pingat Panglima Gagah Berani (PGB).

Tak ramai penerima pingat ini yang masih hidup. Majoriti daripada mereka terkorban ketika menjalankan tugasan untuk mempertahankan negara.

Bekas anggota UTK, Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu menunjukkan pingat keberanian kedua tertinggi negara, pingat Panglima Gagah Berani (PGB) yang diterimanya di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2019.

“Saya kalau boleh nak kerja lagi. Duit pencen yang diterima sebenarnya tak cukup kalau diikutkan, apatah lagi tinggal di tengah-tengah bandar yang kos kehidupannya cukup tinggi bagi orang pencen macam saya. Namun dalam usia macam ni, siapalah nak bagi saya kerja.

“Banyak kes jenayah yang saya selesaikan, saya ditembak di tengkuk, jatuh dari bangunan empat tingkat, macam-macam kecederaan yang saya dapat, bukan tak ada pihak bertanggungjawab (yang ambil peduli), tetapi setakat tanya khabar sajalah.

” Memang terkilan gila,” kata Sarjan (B) Nazaruddin Mohd. Zain atau lebih dikenali sebagai Sabu kepada Malaysia Gazette ketika ditemui di rumah flatnya baru-baru ini.

Sabu memasuki perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1965 sebelum bersara pada tahun 1996.

Antara gambar-gambar lama yang disimpan oleh Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu sepanjang bertugas sebagai anggota PDRM. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2019.

Dalam tempoh tersebut, beliau telah ditugaskan dalam pelbagai cawangan dan formasi.

Namun sejarahnya yang paling diingati sewaktu berkhidmat selama 10 tahun dalam Unit Tindakhas (UTK) dan 10 tahun dalam Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketika di dalam UTK, Sabu pernah menjadi pengawal peribadi kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin terkemuka dunia yang melawat Malaysia.

Antara gambar-gambar lama yang disimpan oleh Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu sepanjang bertugas sebagai anggota PDRM. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2019.

Antaranya Yasser Arafat (Palestin) dan Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela.

Pada tahun 1986, beliau dan pasukannya telah diberi mandat oleh Bukit Aman bagi menjalankan misi khas membebaskan dua orang tebusan yang diculik enam banduan diketuai Jimmy Chua di Penjara Pudu.

“Dr. Mahathir ketika itu memberi arahan agar tidak berlaku sebarang pertumpahan darah dan tebusan hendaklah dibebaskan dengan selamat. Untuk itu, komander pasukan meminta kami hanya menggunakan rotan dalam usaha membebaskan mereka yang ditahan.

Bekas anggota UTK, Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu menunjukkan semula aksi pukulan rotan yang dilakukan sewaktu menjadi anggota Polis di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2019.

“Dalam tempoh empat hari sebelum kami melancarkan serangan, setiap masa yang ada kami gunakan untuk berlatih membebaskan dua mangsa tersebut.

“Peluang muncul pada hari kelima apabila salah seorang banduan terlibat ‘berpaling tadah’ dengan membuka pintu pagar bangunan yang menempatkan tebusan, apalagi kami pun menyerbu masuk ke tempat itu.

“Saya orang pertama yang masuk diikuti rakan-rakan yang lain, dalam hanya beberapa minit, operasi khas tersebut berjaya kami selesaikan dan kedua-dua tebusan berjaya kami bebaskan walaupun dengan hanya menggunakan rotan sebagai senjata. Kesemua banduan terlibat juga berjaya kami tangkap,” katanya bersemangat.

Bekas anggota UTK, Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu bergambar dihadapan pintu Penjara Pudu dimana lokasi sejarah hidupnya selepas berjaya menumpaskan banduan yang menculik dua pembantu kesihatan dengan hanya menggunakan rotan di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2019.

Disebabkan keberaniannya yang luar biasa dalam insiden tersebut, Sabu dianugerahkan pingat PGB daripada Yang Di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.

Mengulas mengenai operasi memburu penjenayah tegar pula, Sabu berkata, selalunya dia tidak akan pulang dengan tangan ‘kosong’. Bahkan tanpa berselindung, Sabu mendedahkan ramai penjenayah maut di hujung senjatanya.

Walaupun tidak memberi angka tepat jumlah penjenayah yang mati di tangan beliau, Sabu mengakui – ia ‘cukup banyak’.

Disebabkan itu, katanya, beliau digelar ‘Malaikat Maut’ dalam pasukan.

Antara gambar-gambar lama yang disimpan oleh Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu sepanjang bertugas sebagai anggota PDRM. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2019.

“Ramai yang tidak faham, saya bukan tembak suka-suka. Kami ada peraturan dan prosedur ketat dalam menjalankan operasi berbahaya sebegini. Mereka yang saya tembak adalah penjenayah kejam, penjenayah bersenjata api, penculik dan berbagai lagi yang cukup berbahaya kalau dibiarkan dalam masyarakat.

“Mereka ini tanpa ragu-ragu melepaskan tembakan ke arah kami anggota polis bila bertembung, untuk mempertahankan diri kami terpaksa membalas tembakan.

“Perasaan saya memang berdebar tiap kali kena pergi operasi berbahaya ini. Jantung semua bergegarlah tetapi bila nampak penjenayah, hilang perasaan gegar itu, kita gegar dia (penjenayah) pula.

Antara gambar-gambar lama yang disimpan oleh Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu sepanjang bertugas sebagai anggota PDRM. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2019.

“Saya tidak ada petua, dengan Bismilahirrahmanirrahim…bam!bam!bam!,” kata Sabu sambil menggayakan caranya melepaskan tembakan.

Bila ditanya mengenai perasaannya sekarang khususnya setelah lama meninggalkan pasukan, Sabu berkata, beliau agak terkilan kerana merasakan dirinya dipinggirkan serta tidak dipedulikan.

Bekas anggota UTK, Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu mengambil angin diluar rumahnya sebelum menuju ke Penjara Pudu di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2019.

Sejujurnya, menurut Sabu, beliau berharap sangat diberikan sekeping tanah atau setidak-tidaknya sebuah rumah bagi beliau meneruskan sisa-sisa hidupnya sebelum menutup mata.

Katanya, nasib ‘wira’ sepertinya tidak sebaik nasib ahli sukan yang memperoleh begitu banyak ganjaran sewaktu memenangi pingat atau kejuaraan sesuatu acara untuk negara.

Uniform PDRM milik bekas anggota UTK, Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu yang dipakainya sewaktu bertugas sebagai anggota PDRM Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2019.

“Cakap pun rasa macam nak menangis, duduklah saya di rumah flat sekangkang kera ni. Ahli sukan memang mengharumkan negara, tetapi kami mempertaruhkan nyawa.

“Apapun saya tidak menyesal, saya dah pencen, saya kira dah berjaya menjalankan tanggungjawab (yang diamanahkan) sebagai anggota polis,” katanya sambil menyapu airmata yang berlinang di pipinya. – MalaysiaGazette.

https://youtu.be/ICjqDtoe7kE

 

1 Komen

  1. Sedih … kerajaan patut beri penghargaan spt rumah serta dgn tanah atas pegorbanan en sabu ini.

Comments are closed.