Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas menggesa kerajaan supaya menyelesaikan isu lambakan pelancong warga China dan India yang tidak pulang hingga bermastautin di negara ini dengan kadar segera.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Inrahim Tuan Man berkata, isu keselamatan telah menjadi prioriti utama berbanding sasaran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Katanya, pengecualian visa yang diberikan khusus kepada pelancong warga China dan India pada tahun 2016 dan 2017 perlu dihentikan supaya isu ‘pemastautinan’ mereka diselesaikan segera.

“Tambahan pula, sebelum ini kita dapati banyak isu seperti sindiket penjualan dan pemalsuan MyKad, tangkapan hampir seribu warga China yang terbabit dengan ‘scam online’, penurunan had ambang pemilikan hartanah warga asing dan lambakan PATI.

“Pas mahu Kerajaan Persekutuan tidak berkompromi dan mengambil mudah dengan kemasukan warga asing di negara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim menegaskan, masalah kritikal yang dihadapi ialah wujud kelemahan yang serius dalam pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) dan juga MyIMMs ketika pemprosesan di pintu-pintu masuk pelancong.

Ujarnya, meskipun banyak syarat yang perlu dipatuhi, namun isu-isu yang dihadapi selama ini lebih besar.

“Pas mahu pengecualian visa tahun 2020 dibatalkan selagimana isu-isu tersebut masih belum diselesaikan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette