Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa majlis penutupan Festival Light and Motion Putrajaya (Lampu) 2019 dan sambutan Jubli Perak bandar Putrajaya, di Dataran Putrajaya malam ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa gembira apabila dapat melihat pembangunan di pusat pentabdiran Malaysia, Putrajaya.

Beliau tidak bermimpi untuk melihat segala pembangunan yang dikecapi bandar itu selama 25 tahun kewujudannya.

“Saya amat gembira kerana dapat juga melihat Putrajaya ini berumur 25 tahun. Sebenarnya saya tidak mimpi untuk melihat acara seperti ini.

“Tetapi demikan kerjasama, perpaduan, kestabilan dan keamanan negara kita sehingga dapat bangunkan kota pentadbiran yang gilang gemilang, sayangilah Putrajaya dan Malaysia negara kita bersama,” katanya ringkas selepas menutup festival Light and Motion Putrajaya (Lampu) 2019 dan sambutan Jubli Perak bandar Putrajaya, di Dataran Putrajaya malam ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Tun Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Mahathir ketika memegang jawatan Perdana Menteri Keempat pada 29 Ogos 1995 telah melancarkan Putrajaya yang dulunya adalah kawasan di selatan Prang Besar, salah sebuah daerah di Selangor.

Sepanjang 25 tahun, bandar ini melalui proses transformasi yang panjang dari kawasan hutan dan ladang kelapa sawit seluas 4,931 hektar kepada sebuah kota pentadbiran pintar.

Sambutan Jubli Perak Putrajaya akan berlangsung sepanjang tahun yang padat dengan pelbagai acara, program serta pengisian bermula Januari 2020.

Acara kemuncak sambutan ialah pada 29 Ogos 2020 yang mana Kapsul Masa yang ditanam sendiri oleh Perdana Menteri pada 29 Ogos 1995 akan dikeluarkan dan dibuka.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ringgit tetap lemah walaupun Prang Besar sudah tidak wujud lagi sebagai sebuah daerah dalam Selangor 🙂

Comments are closed.