KUALA LUMPUR –  Antara yang diimaginasikan termasuk kereta terbang mengelilingi metropolitan, semuanya serba moden malah kebanyakannya menggunakan robot.

Kini negara sudah memasuki tahun 2020, namun Malaysia bukan sahaja kelihatan ke belakang malah keadaan politik juga dilihat tidak stabil.

Itu luahan Setiausaha Penerangan MIC Kebangsaan, A Subash Chandrabose yang bimbang dengan keadaan pasaran saham jatuh teruk selain nilai ringgit yang terus menjunam.

“Kini sudah 2020, negara mundur, politik tidak stabil, pasaran saham jatuh teruk, nilai mata wang terjunam, pelabur asing tidak berani memasuki negara, rakyat kini tidak begitu mesra seperti dulu, penduduk bandar merana, penduduk kampung kehilangan punca pendapatan harian.

“Bak kata peribahasa, harapkan pagar, pagar yang makan padi, itu jugalah situasi segelintir pemimpin utama negara yang telah dicemari dengan isu moral serta semburit yang sehingga kini walaupun sudah masuk tahun baharu masih tidak dapat diselesaikan pihak berkuasa.

“Adakah ini wawasan 2020 yang saya tunggu selama 28 tahun?, “ tulisnya dalam laman Facebook.

Malah kata Subash, untuk pertama kali beliau tidak sedap hati untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada rakyat Malaysia.

“Saya hanya boleh menyalahkan Tun Mahathir ke atas segala masalah yang kini kita hadapi.

“Kebangkitan kuasa rakyat akan berlaku tidak lama lagi. Bersedialah!,” ujarnya sambil meletakkan tanda pagar #KuasaRakyat #Himpunan220220

Semalam ketika menyampaikan ucapan Ambang Tahun Baharu 2020, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan misi Wawasan 2020 yang sepatutnya memberikan negara status negara maju gagal dicapai kerana kepimpinan kerajaan ke-5 dan ke-6.

“Tahun 2020 ini agak signifikan buat saya sebenarnya kerana hampir tiga dekad dahulu kita lancarakan Wawasan 2020. Ketika itu kita sasarkan tahun ini sebagai tahun kita mencapai status negara maju.

“Bagaimanapun kerana beberapa pendekatan yang diambil pemimpin kerajaan nombor lima dan enam, maka Wawasan 2020 itu tidak dapat dicapai pada tahun ini dan memerlukan tempoh 10 tahun lagi,” kata Tun Mahathir. – MalaysiaGazette

Ada pihak tak puas hati namun usaha bangunkan negara diteruskan – PM

1 Komen

Comments are closed.