Laporan berita mengenai dakwaan ibu bapa diarah membeli kerusi dan meja.

MELAKA – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka akan melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan ibu bapa diarahkan pihak pengurusan sebuah sekolah menengah di Batu Berendam di sini membeli kerusi dan meja untuk anak mereka bagi sesi persekolahan 2020.

Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Noor Effendi Ahmad berkata JPN, Pejabat Pendidikan Daerah atau Kementerian Pendidikan tidak pernah mengeluarkan arahan supaya ibu bapa membeli kerusi atau meja.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media semalam bahawa terdapat ibu bapa di negeri itu mendakwa diarah membeli kerusi dan meja bagi membolehkan anak mereka memasuki sekolah terlibat disebabkan kemudahan tidak mencukupi.

Noor Effendi berkata maklumat awal yang diperoleh mendapati berlaku salah faham antara pihak pengurusan sekolah dan ibu bapa pelajar tingkatan 1 terlibat kerana ibu bapa berkenaan memindahkan anak mereka ke sekolah tersebut di saat akhir.

“Kebiasaannya pihak sekolah sentiasa memberi pertimbangan pada ibu bapa dan pelajar yang ingin tukar sekolah tetapi bergantung pada kuota dan kemudahan yang terdapat di sesebuah sekolah terlibat.

“Pada saya isu ini sengaja diperbesarkan dan tidak sepatutnya berlaku kerana JPN sentiasa mengambil langkah proaktif memastikan kerusi dan meja cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan di Sekolah Kebangsaan Padang Temu di sini bersempena hari pertama sesi persekolahan 2020.

Noor Effendi berkata setakat ini hanya 2 sekolah iaitu sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di negeri ini dilaporkan manghadapi kekurangan meja dan kerusi ekoran masalah penempatan berubah di saat akhir sebelum sesi persekolahan bermula.

Sementara itu, Pengarah JPN Melaka, Mohd Azam Ahmad berkata penyediaan kemudahan asas bagi memastikan pelajar di sekolah kerajaan dapat belajar dengan selesa merupakan tanggungjawab kerajaan khususnya melibatkan 4 perkara asas iaitu bangunan, kerusi meja, buku teks dan guru.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya mengalu-alukan sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mengurangkan beban yang dihadapi kerajaan dan tidak melibatkan ibu bapa secara individu.

— BERNAMA