Kenderaan Vellfire

TAHUN baru 2020 mempunyai signifikasi besar kepada seluruh rakyat Malaysia. Tahun 2020 amat sinonim dengan Wawasan 2020 yang diilhamkan pada tahun 1991 oleh Perdana Menteri keempat ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Ironiknya, pengakhiran kepada Wawasan 2020 disambut pada 1 Januari 2020 oleh Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2020 kepada seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira agama dan bangsa.

Tahun 2020 ini juga diharap menjadi kesinambungan bagi DPIM menerusi ruangan ini untuk berbicara dan memberi pendapat selaku parti komponen di bawah Gagasan Sejahtera agar kita sama-sama menyuarakan denyut nadi rakyat ke arah Malaysia yang lebih sejahtera.

Wawasan 2020 bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Wawasan 2020 merangkumi bukan sahaja bidang ekonomi, tetapi juga bidang-bidang politik, sosial, kerohanian, psikologi, serta juga perpaduan nasional dan sosial, antara lain. Kesemua ini juga melibatkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai
sosial dan kerohanian, maruah bangsa, serta juga keyakinan.

Walaupun ramai yang mempersendakan pengakhiran Wawasan 2020 dengan nada sinis gambaran “kereta terbang” dan “robot” di Malaysia, Wawasan 2020 tidaklah gagal sepenuhnya. Negara Malaysia sebenarnya mengalami perubahan yang pesat membangun jika dibandingkan pada tahun 1991. Legasi Malaysia seperti Menara Berkembar Petronas, pusat pentadbiran Putrajaya, perusahaan kereta nasional Proton, Menara TRX, sistem
pengangkutan awam yang terancang LRT dan MRT adalah antara bukti jelas pembangunan Malaysia pada hari ini.

Negara kita telah berubah daripada sebuah negara yang miskin, tidak teratur dan mundur kepada sebuah negara yang maju dan teratur. Oleh itu, tidak dinafikan bahawa Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Dr Mahathir adalah satu anjakan paradigma kepada seluruh rakyat Malaysia yang berjaya mengubah landskap negara kita dari kemunduran kepada sebuah negara yang moden.

Dari sudut ekonomi, matlamat Wawasan 2020 adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi. KDNK Malaysia pada tahun 1990 ialah RM 115 bilion, dengan sasaran kira-kira RM 920 bilion dalam nilai sebenar (ringgit pada 1990) menjelang tahun 2020. Pertumbuhan pesat ini memerlukan pertumbuhan pada kadar purata kira-kira 7.0% (dalam nilai sebenar) setahun hingga tahun 2020. Jika ini dapat dicapai, dan diandaikan kadar pertumbuhan penduduk tahunan ialah 2.5%, menjelang tahun 2020, rakyat Malaysia akan kaya empat kali ganda (dalam nilai sebenar), berbanding dengan tahun 1990. Inilah ukuran masyarakat makmur yang dimaksudkan oleh Wawasan 2020.

Dengan itu, KDNK Malaysia menjadi lapan kali lebih besar menjelang tahun 2020 berbanding 1990. Mengikut statistik KDNK tahun 2017, ekonomi Malaysia terus berkembang dengan nilai KDNK pada harga semasa telah mencapai nilai RM1,353.4 bilion (2016: RM1,231.0 bilion) dan meningkat 9.9 peratus, juga merupakan antara peningkatan KDNK tertinggi negara. Kredit harus diberikan kepada Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak kerana mengemudi ekonomi negara dengan cemerlang.

Hari ini, KDNK negara dicatatkan sekitar RM 1,400.0 bilion dengan kompilasi pendapatan negara kasar (PNK) melaporkan cukai bersih dan cukai tolak subsidi bagi pengeluaran dan
import menyumbang 3.4 peratus kepada pendapatan keseluruhan dan menyusut kepada 25.3 peratus. Ini disebabkan oleh dasar cukai negara pada 2018 telah distruktur semula dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar dari 1 Jun hingga 31 Ogos 31, 2018 sebelum digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula
1 September 2018.

Senario itu telah secara tidak langsung memberi kesan kepada kemerosotan cukai bagi pengeluaran dan import. Dasar kerajaan Pakatan Harapan ini sebenarnya merencatkan ekonomi negara. Oleh itu, kegagalan dasar ekonomi Wawasan 2020 harus dijawab oleh kerajaan Pakatan Harapan.  DPIM tidak mahu melihat ekonomi Malaysia kembali ke zaman 90an.

Saban tahun, kehadiran tahun baru biasanya disambut dengan pelbagai resolusi dan iltizam ke arah menjadikan tahun baru itu lebih baik daripada tahun sebelumnya. Tahun baru juga
menjadi medan memperbetulkan kesilapan lalu dan menjadikan ia pedoman agar kesilapan sama tidak diulangi pada tahun yang mendatang. Itulah lumrah kehidupan manusia. Namun begitu, kerajaan Pakatan Harapan dilihat makin alpa untuk memperbetulkan kesilapan yang dibuat pada tahun 2019. Pelbagai dasar membebankan rakyat dilaksanakan pada 1 Januari
2020.

Di sebalik kemelesetan ekonomi negara, kemerosotan nilai ringgit, berduyun-duyun pelaburan asing keluar dan menduduki tempat tercorot dalam bursa saham rantau ini, kerajaan Pakatan Harapan masih leka untuk memperbetulkan ekonomi negara. Tahun 2020 menyaksikan rakyat makin ditekan dan ditindas.

Berikut merupakan “hadiah” tahun baru 2020 kerajaan Pakatan Harapan kepada seluruh rakyat Malaysia:

I. Kos kemudahan asas naik – tarif elektrik naik, tarif air naik
II. Cukai digital atas talian sebanyak 6%
III. Cukai minuman gula
IV. Cukai servis 6%
V. Cukai jualan 10%
VI. Cukai jualan hartanah naik
VII. Cukai Petak diperkenalkan di Selangor, Wilayah Persekutuan
VIII. Cukai taksiran PBT naik
IX. Harga pos naik
X. Caj doktor dan pergigian swasta naik
XI. Harga minyak diapungkan dan dinaikkan 1 sen seminggu (tangguh sementara)
XII. Bantuan tunai siswa dimansuh
XIII. Jawatan tetap berpencen dimansuh
XIV. Beberapa jenis elaun penjawat awam dimansuh

Berdasarkan laporan di atas, sekurang-kurangnya 7 jenis cukai terpaksa ditanggung oleh seorang anak muda yang menetap di Kuala Lumpur di samping bantuan makin dikurangkan
dan kos sara hidup meningkat.

Seperti biasa, bantuan rakyat dikurangkan dengan alasan hutang negara bertambah. Ironinya, kerajaan pula bercadang untuk membeli kenderaan Vellfire kepada 32 Menteri dan Timbalan Menteri Pakatan Harapan, serta ribuan buah kereta Honda kepada pegawai atasan kerajaan, yang berkemungkinan besar merupakan lantikan politik.  Inilah pula hadiah tambahan kepada pemimpin Pakatan Harapan untuk tahun 2020. – MalaysiaGazette

Oleh: Shahir Adnan, Ketua DPIM