Julian Weigl

PORTUGAL  – Benfica telah bersetuju dengan rundingan bersama Borussia Dortmund untuk menandatangani pemain tengah Jerman, Julian Weigl dengan perpindahan bernilai €20 juta.

Weigl merupakan antara pemain yang kerap diturunkan Dortmund sejak beliau menyertai pasukan tersebut dari 1860 Munich pada 2015 terutamanya sewaktu Thomas Tuchel membimbing kelab itu.

Namun sejak Dortmund atau BVB dikendalikan oleh Lucian Favre, Weigl semakin kurang bermain kerana terpaksa bersaing dengan beberapa pemain lain seperti Axel Witsel, Thomas Delaney serta pemain muda Tobias Raschl.

Menurut Dortmund, perjanjian tersebut tertakluk kepada keputusan pemeriksaan kesihatan dan Weigl dijangka menandatangani kontrak dan melengkapkan perpindahan beberapa hari lagi.

“Saya mahu berterima kasih kepada semua rakan sepasukan, warga kerja BVB dan semua penyokong kelab terhebat ini. Saya akan sentiasa letakkan Borussia Dortmund dalam hati saya.” ujar Weigl kepada laman web rasmi kelab.

Dengan kehadiran Raschl, Dortmund dijangka tidak akan mencari pemain pertahanan tengah yang baharu dan pemain muda berbakat itu akan terus diberi kepercayaan untuk bermain lebih kerap dalam kesebelasan utama.

Weigl yang berusia 24 tahun itu telah pun membuat 171 penampilan bersama BVB dan memenangi DFB Pokal pada musim 2016/17 serta Piala Super Jerman pada awal musim ini.

Dia turut memiliki lima kaps bersama skuad kebangsaan Jerman.

Sementara itu, Benfica sedang mendahului Liga Portugal dengan 39 mata dari 14 perlawanan, empat mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Porto. – MalaysiaGazette