Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A. Samad berjalan keluar dari mahkamah selepas selesai menghadiri hari pertama perbicaraan kes percubaan rasuah dengan bernilai RM 2.8 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Saksi pertama perbicaraan hari pertama kes rasuah RM2.2 juta melibatkan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan isterinya Zizie Izette A.Samad mengesahkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua tertuduh adalah pasangan suami isteri yang sah.

Mohd Abd Nasir Abdullah, 42, bertugas sebagai pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tampil sebagai saksi pertama pada perbicaraan selama tiga hari yang bermula hari ini.

Terdahulu Bung Mokhtar dan isterinya telah dibacakan tiga pertuduhan pindaan ke atas mereka secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 15, Rozina Ayob.

Datuk Athimulan dan anaknya Ashok Athimulan dari Athimulan and Co merupakan peguambela Ahli Parlimen Kinabatangan itu manakala isterinya diwakili peguambela K. Kumarendran.

Selepas perbicaraan bermula 9 pagi tadi, Timbalan Pendakwa Raya kes dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, menyediakan dua saksi iaitu Mohd Nasir dan Lembaga Pengarah Felcra Berhad.

Namun Hakim menasihatkan pendakwa raya supaya saksi kedua itu disoal pada hari esok.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry memaklumkan kepada hakim bahawa pindaan kertas pertuduhan  dilakukan pada perkataan ‘daripada upah kepada sebagai dorongan’ supaya dibaca sekali lagi sebelum peguam bela kedua-dua tertuduh tidak membantah.

Namun Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dan isterinya merupakan selebriti tempatan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan apabila hakim bertanya sama ada kedua-dua mereka memahami maksud pindaan pertuduhan dan mengaku bersalah atau tidak.

Kemudian Mohd Nasir dari JAIWPKL yang bersut hitam dan bersongkok duduk di kandang saksi dengan tenang sebelum mengangkat sumpah dan bersedia memberi keterangan.

Mohamad Fadhly meminta saksi membacakan kenyataan dokumen bertulis pendaftaran pernikahan Bung Mokhtar dan Zizie.

“Dokumen yang dirujuk kepada saya ini merupakan salinan surat perakuan nikah penama Mokhtar Radin dan Zizie Izette A.Samad nombor sijil 0112332, bilangan pendaftar 2014-02123 Di Bawah Akta Undang-Undang Keluarga islam(Wilayah Persekutuan) 1984 (Seksyen 26), merujuk salinan Surat Perakuan Nikah di atas(yang diserahkan oleh Timbalan Pendakwa Rraya SPRM) saya mengesahkan bahawa Mokhtar Radin, nombor kad pengenalan 590915-12-5745 adalah penama pengantin lelaki dengan pasangannya iaitu pengantin perempuan Zizie Izette A.Samad nombor kad pengenalan 781230-01-5000.

“Saya juga mengesahkan Bung Mokhtar bernikah dengan pasangan beliau iaitu Zizie Izette A.Samad pada 9 Jun 2010 bersamaan 26 Jamadilakhir 1431,” katanya yang turut memberitahu pernikahan mereka diwalikan oleh abang Izette iaitu Samzy Fuzette Abd Samad.

Beliau juga mengesahkan dua orang saksi perkahwinan pasangan itu iaitu Shari Ahmad, 64, dan Ahmad Shahazami Abd Samad, 58, juga seorang lagi abang kandung Zizie.

Selepas itu Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly meminta saksi meneliti dokumen pendaftaran pernikahan yang ada bersamanya dan memberitahu mahkamah apa status perkahwinan kedua pasangan itu berdasarkan dokumen tersebut.

Saksi kemudian menjawab: berdasarkan status dokumen perkahwinan ini, kedua-dua mereka adalah pasangan suami isteri yang sah,” katanya di hadapan Rozina Ayub.

Kemudian Hakim Rozina menangguhkan perbicaraan dan menyambung esok serta melanjutkan jaminan kedua-dua tertuduh.

“Saksi dengan ini dilepaskan dan dibebaskan sebagai saksi kes ini,” katanya dan tidak ada bantahan hadir daripada barisan peguam bela pasangan itu iaitu Athimulan dan Kumarendran.

Sebelum ini BUng Mokhtar mengaku tidak bersalah atas tuduhan  menerima rasuah untuk dirinya suatu suapan wang tunai berjumlah RM2,200,000 melalui isterinya Zizie daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad iaitu Madhi Abdul Hamid sebagai dorongan melakukan sesuatu perbuatan mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad bagi pelaburan bernilai RM150 juta dengan menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad

Dalam pertuduhan pindaan kedua pula, Bung Mokhtar turut didakwa menggunakan kedudukan yang sama dalam Felcra dan menerima suapan wang rasuah berjumlah RM262,500 daripada individu yang sama melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund bernombor akaun 044797816 yang didaftarkan atas nama isterinya yang juga tertuduh dalam kes tersebut untuk dorongan yang sama mendapatkan kelulusan projek bernilai RM150 juta.

Tuduhan pindaan ketiga juga menyaksikan Bung Mokhtar didakwa menerima sejumlah wang berjumlah RM337,500 daripada seorang ajen Public Mutual Berhad iaitu Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, sebagai dorongan dan projek sama melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund bernombor akaun 044797824 yang didaftarkan atas nama isteri tertuduh iaitu Zizie.

Bung Mokhtar didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan di Public Bank Taman Melawati antara 15 hingga 19 JUn 2015 mengikut Subseksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum dibawah Subseksyen 24(1) Akta yang sama.

Manakal Zizie juga didakwa atas kesalahan bersubahat dengan suaminya Bung Mokhtar pada 12 dan 19 Jun 2015 lokasi yang sama terhadap individu sama untuk dorongan sama antara pukul 12.16 hingga 12.28 tengahari dan didakwa di bawah Seksyen 28 (1)(c) SPRM (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta yang sama sebelum mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan hari ini.- MalaysiaGazette