Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persidangan tahunan Cawangan-Cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijadualkan berlangsung antara 25 Januari hingga 1 Mac 2020 dan Persidangan Bahagian-Bahagian Bersatu yang dijadualkan berlangsung serentak di seluruh negara pada 4 April 2020.

Sempena Persidangan Cawangan-Cawangan tersebut, Bersatu akan mengadakan pemilihan barisan jawatankuasa di peringkat Cawangan, Bahagian dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) termasuk Sayap-Sayap Srikandi dan Armada buat julung-julung kalinya.

Persidangan Cawangan-Cawangan akan memilih Jawatankuasa Cawangan masing-masing dan Jawatankuasa Bahagian Cawangan-Cawangan tersebut dan ia hendaklah didahului oleh Persidangan Srikandi dan Armada Cawangan dan Bahagian yang kemudian akan memilih jawatankuasa masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar berkata, Persidangan Bahagian-Bahagian akan memilih Majlis Pimpinan Tertinggi di peringkat Pusat.

Menurutnya, semua Cawangan di dalam sesuatu Bahagian hendaklah bersidang pada tarikh yang sama yang akan ditentukan oleh Bahagian dalam tempoh bagi Persidangan Cawangan.

Ahli-ahli parti yang yang ingin bertanding bagi jawatan-jawatan di peringkat Cawangan termasuk Srikandi dan Armada tidak perlu mendaftarkan pencalonan masing- masing tetapi mestilah telah berdaftar sebagai ahli parti yang sah dan telah menjelaskan yuran tahunan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2019 atau ahli seumur hidup.

Bagi Armada pula katanya, hanya mereka yang berumur 35 tahun dan ke bawah pada 1 Januari 2019 layak menghadiri persidangan dan bertanding bagi jawatan-jawatan dalam sayap tersebut tertakluk kepada syarat-syarat yang terpakai.

“Adalah dimaklumkan bahawa ahli-ahli yang ingin bertanding bagi jawatan-jawatan di peringkat Bahagian termasuk Srikandi dan Armada hendaklah mendaftarkan pencalonan masing-masing pada hari Pendaftaran Pencalonan kepada petugas Jawatankuasa Pemilihan Parti di pejabat Bahagian masing-masing pada 13 Januari 2020 (Isnin) dari jam 9 pagi hingga 2 petang.

“Jika ketiadaan Pejabat Bahagian, Jawatankuasa Pemilihan Parti akan menetapkan lokasi untuk Pendaftaran Pencalonan dalam waktu terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Syed Hamid hanya calon-calon yang disahkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti akan dimasukkan ke dalam Senarai Calon untuk diedarkan kepada ahli-ahli semasa pemilihan sempena Persidangan Cawangan-Cawangan.

Katanya, Jawatankuasa Pemilihan Parti hanya akan mengiktiraf senarai ahli-ahli yang layak hadir ke Persidangan Cawangan yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Parti yang disahkan oleh Setiausaha Agung Parti, oleh itu, ahli-ahli disaran menyemak status keahlian masing-masing di dalam senarai keahlian yang bakal dipamerkan di pejabat-pejabat Bahagian dan Cawangan bermula 7 Januari hingga 12 Januari 2020. . – MalaysiaGazette