KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan semalam, dipercayai percaturan kuasa di Putrajaya, kata Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr. Mohd Mazri Yahya.
Katanya, peletakan jawatan itu tidak ada kaitan langsung dengan peranan pembangkang dari Muafakat Nasional.
“Sejak awal pemerintahan Pakatan Harapan (PH) lagi pembangkang mendesak kerajaan menukar Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, P. Waytha Moorthy.
“Kita buat demonstrasi besar-besaran lagi supaya menteri ini ditukar, tetapi tidak ada kesan. Waytha tetap menjadi menteri sehingga kini.
“Untuk Menteri Pendidikan, kritikan hanya troll di media sosial sahaja, tidak ada demonstrasi, tetapi diarah letak jawatan,” katanya di laman Facebooknya, hari ini.
Dengan tindakan itu, katanya, jelas membuktikan pembangkang tidak ada peranan langsung dalam peletakan jawatan Dr. Maszlee Malik.
Kata beliau, yang berperanan besar ialah mereka yang mencongak percaturan kuasa di Putrajaya.
“Kalau kita kata ia peranan DAP, anda akan tetap kata ia adalah Rahmatan Lil Alamin,” katanya merujuk slogan yang diperkenalkan menteri di Jabatan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette
















