Felcra

KUALA LUMPUR – Felcra Berhad (Felcra) berjaya mencapai 100 peratus skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi 162 kawasan ladang di bawah pentadbirannya setakat 31 Dis lepas.

Pengerusinya, Datuk Nageeb Wahab berkata, ini meliputi sejumlah 1,246 ladang sawit milik peserta berkeluasan 178,857 hektar, 32 ladang milik Felcra seluas 29,926 hektar selain enam kilang sawit milik Felcra di seluruh negara.

“Dalam tempoh pelaksanaan skim tersebut bermula pada Januari 2018, kesemua ladang berkenaan telah berjaya menerima pensijilan MSPO di bawah piawaian Malaysian Standard MS 2530:2013.

“Kesemua kilang sawit milik Felcra juga telah menerima pensijilan MSPO dan MSPO SCCS (Piawaian Pensijilan Rantaian Bekalan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nageeb turut menyifatkan pencapaian tersebut sebagai selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan kelestarian sektor perladangan dan perkilangan selain menjadi satu skim kebangsaan bagi industri sawit di Malaysia yang perlu dipatuhi.

“Pensijilan MSPO adalah satu pengiktirafan yang mengesahkan bahawa produk sawit dihasilkan oleh Felcra adalah mampan, tidak mencemarkan alam sekitar serta memiliki jaminan piawaian untuk kegunaan di peringkat global.

“Pencapaian ini turut menjadi satu penanda aras yang meletakkan Felcra sebagai sebuah entiti pelaksana pembangunan komoditi sawit lestari,” kata beliau. – MalaysiaGazette