Kerk Chee Yee

MELAKA – Semua pihak diingatkan agar tidak menjadikan sekolah sebagai mangsa serangan politik sehingga boleh menjejaskan imej sekolah terbabit, kata Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee.

Beliau mengulas mengenai isu kekurangan meja dan kerusi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir di Batu Berendam ekoran masalah penempatan pelajar berubah di saat akhir, namun terdapat pihak mempolitikkan perkara itu hingga tular dalam media sosial baru-baru ini.

Kerk dalam lawatan kerjanya ke sekolah itu semalam berkata beliau difahamkan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah memberikan bantuan yang sewajarnya kepada sekolah berkenaan.

Baca: Dakwaan sekolah arah ibu bapa beli kerusi, meja disiasat, kata Exco Melaka

“Permohonan kepada Kementerian Pendidikan telah dilakukan sebelum ini, namun masih terdapat kekurangan lebih kurang 40 meja dan 90 kerusi. Sebelum ini juga ada pihak yang memberi sumbangan secara sukarela kepada SMK Tun Mutahir untuk membeli meja dan kerusi.

“Bagaimanapun, pihak sekolah terpaksa memulangkan duit tersebut kepada penyumbang selepas terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab memutarbelitkan perkara ini dan menjadikannya bahan viral yang merosakkan imej sekolah dan pihak penyumbang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Kerk yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh berkata beliau berjanji kepada pihak sekolah akan menyumbang 40 meja dan 90 kerusi supaya pelajar SMK Tun Mutahir boleh belajar dalam keadaan selesa.

Pada 2 Jan lepas, media melaporkan JPN Melaka akan melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan ibu bapa diarahkan pihak pengurusan sebuah sekolah menengah membeli kerusi dan meja untuk anak mereka bagi sesi persekolahan 2020.

Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka Datuk Noor Effendi Ahmad dilaporkan berkata JPN, Pejabat Pendidikan Daerah atau Kementerian Pendidikan tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian.

— BERNAMA