Yeo Bee Yin
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) akan memberi tumpuan kepada penstukturan semula Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan struktur organisasi, penguatkuasaan dan intergriti pegawai diperkemaskan.

Menteri berkenaan, Yeo Bee Yin berkata, penstrukturan semula itu akan dibuat melalui Pelan Hala Tuju JAS pada suku pertama tahun ini.

“Ini adalah kerja-kerja yang sudah kita buat sejak 2019 lagi dan kita akan teruskan lagi pada tahun ini, malah ia adalah antara fokus utama yang akan diambil perhatian,” katanya dalam rancangan Bicara Naratif Berkenaan Pencapaian MESTECC Sepanjang Tahun 2019 terbitan RTM pada Jumaat.

Pada masa sama, beliau akan meneruskan usaha untuk mengisi 1,400 perjawatan JAS sedia ada di semua cawangan di seluruh negara bagi memastikan jabatan itu dapat berfungsi dengan lebih baik.

“Saya terkejut apabila mendapati hanya 1,200 perjawatan yang telah diisi. Jadi, tahun lepas kita telah mengisi lebih 100 kekosongan dan kita akan teruskannya pada tahun ini di semua cawangan JAS,” katanya.

Dalam pada itu, Yeo berkata, pegawai kementerian adalah penggerak utama yang membawa kepada kejayaan dalam kementerian.

Kerja keras yang dilaksanakan pegawai JAS juga antara penyebab kepada kejayaan kerajaan menghantar balik 100 kontena yang mengandungi sisa plastik haram ke negara asal pada 2019 yang terdiri daripada negara maju seperti Perancis, Kanada, Belanda dan Jepun.

Usaha komited MESTECC yang menekankan mesej tegasnya kepada dunia itu turut dibantu anggota agensi terlibat seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).

“Saya cukup bangga dengan pegawai JAS kita, (kejayaan ini) bukan (sebab) saya, kalau kita tidak ada para pegawai yang bekerja keras untuk periksa setiap kontena mana kita boleh capai ini.

“Tidak lupa juga agensi lain JKDM, JPSPN dan semua yang bekerjasama, sekiranya mereka tidak ada, maka kita tak boleh capai dan saya bangga dengan pegawai kita yang telah pun mencipta satu imej yang membanggakan untuk arena antarabangsa,” katanya.

MESTECC sebelum ini pernah mengutarakan keperluan masyarakat Malaysia dan menyuarakan hak mengenakan kawalan ketat terhadap import sisa plastik pada Konvensyen Basel yang diadakan dari 29 April hingga 10 Mei, 2019 di Geneva, Switzerland. – Bernama