Pengumuman penamaan calon
Pengumuman penamaan calon PRK Parlimen Kimanis

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dijangka sengit apabila ia bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Pertandingan itu disahkan selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Jupry Etok, mengumumkan senarai calon yang bertanding dalam PRK bagi Parlimen itu.

Proses penamaan calon tamat pada jam 11 pagi tadi selepas tempoh penamaan calon di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di Beaufort, Sabah ditutup pada 10 pagi, disusuli tempoh bantahan selama sejam.

Calon yang diumumkan ialah wakil BN, Datuk Mohamad Alamin yang menyerahkan borang pencalonan pada 9.07 pagi dan diikuti dengan calon Warisan, Datuk Karim Bujang pada 9.10 pagi.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan penyandangnya, Datuk Seri Anifah Aman.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Anifah memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Calon lain daripada Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail pula meraih 1,300 undi.

Daftar pemilih bagi PRK Parlimen Kimanis merangkumi 29,664 pengundi yang terdiri daripada 29,654 pengundi biasa, sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara. – MalaysiaGazette