Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) diiringi Pengerusi OMS Foundation, Senthamil Serval (kiri) menyampaikan anugerah kepada pelejar cemerlang, Sri Nandhini Segar (kanan) pada Program Pingat Emas Bagi Murid-Murid Cemerlang UPSR di MAEPS, Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 JANUARI 2020

SERDANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa pelik apabila ada pihak yang bimbang dengan pembelajaran tulisan Jawi yang hanya melibatkan dua hingga tiga halaman sahaja.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pembelajaran itu sekadar mengenali tulisan tersebut yang tidak sepatutnya mengundang ia menjadi isu yang hangat.

Lebih memburukkan keadaan, kata beliau, timbul kenyataan cabar-mencabar antara pelbagai pihak yang jelas merugikan negara.

“Mengenai tulisan jawi saya tidak mahu menghangatkan. Bagi saya telah buat kenyataan, dia ada dalam khazanah dan yang menentang pun adalah keterlaluan dan sentuh perasaan orang Melayu dan telah kuno.

“Memang bahasa Sanskrit kuno tetapi orang masih belajar dan relevan. Begitu juga Latin tapi dalam bangak ilmu masih dikuasai hingga memjadi tulisan kebangsaan tapi mengetahui ia harus ada.

“Saya tidak fikir bahasa Melayu tidak dapat dikuasai tanpa sedikit pengetahuan asalnya. Ini khazanah bahasa kebangsaan bukan khazanah sekadar satu serpihan sahaja.

“Yang diperkenalkan itu juga pun tidaklah umpama satu bab. Dua tiga halaman sekadar kenal. Ini dia semua asas perjanjian dulu yang semua tulisan asal dalam jawi dan sekarang dirumikan.

“Jadi, anak-anak kita sekadar itu sahaja dan saya fikir tidak jadi satu masalah sangat. Orang nak bagi pandangan tidak setuju tidak apa tapi tidak perlu hangatkan hingga undang reaksi respon satu usaha untuk menghina atau pertikai sejarah khazanah Melayu. Ini tidak sihat.

“Sebab itu saya bagi nasihat kalau boleh leraikan dan ada dialog jangan tunjuk kekuatan dan nanti ada tindak balas. Negara yang rugi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Emas kepada Murid-Murid Cemerlang UPSR SJKT Selangor di sini hari ini.

Sebelum itu, Anwar dalam ucapannya, mengingatkan golongan politik tidak menghangatkan suhu suasana di negara dengan isu bahasa hingga menimbulkan perbalahan kaum.

Beliau sebaliknya menegaskan anak-anak kecil sepatutnya digalakkan pelbagai ilmu dan disiplin agar taraf pendidikan dapat dipertingkatkan pada masa akan datang.

Beliau yang juga Presiden Parti PKR turut menasihati semua pihak agar tidak taksub sehingga menghantui keadaan tidak tenteram.

“Jangan sampai keadaan jadi keliru dan sesat. Yang hendak belajar al-Quran dan hadis teruskan. Begitu juga Bahasa Inggeris dan Shakespeare. Kaum Melayu dan Cina hendak belajar Tamil tidak rugi pun sebab beri satu kekuatan.

“Ini tidak jadi hiruk-pikuk bila masing-masing tidak ada pemahaman mendalam. Mereka ini ada ilmu tetapi tidak ke mana pun dan dangkal,” katanya. – MalaysiaGazette