Harussani Zakaria

KUALA LUMPUR – Semua pihak khususnya yang berusaha menentang pengenalan tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular diingatkan mereka telah melanggar Akta Hasutan 1948.

Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria berkata, hal itu kerana tulisan Jawi dilindungi mengikut Seksyen 152 Perlembagaan Persekutuan dan ia tidak boleh dipersoalkan.

“Mendukacitakan apabila masih lagi kedengaran suara yang menghalang perpaduan antara kaum di Malaysia dengan mendesak Kementerian Pendidikan mengadakan dialog terhadap pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah.

“Oleh itu siapa-siapa yang mempersoalkan hak-hak tulisan Jawi adalah termasuk dalam definisi kecenderungan menghasut di bawah peruntukan Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948, iaitu mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Harussani menegaskan, tulisan Jawi dilindungi oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan kerana ia adalah sebahagian daripada bahasa Melayu.

“Saya ingin mengingatkan pihak-pihak yang terlibat untuk menelaah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 9 dan 10 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Ia secara jelas menjamin kelangsungan tulisan Jawi dan angka Arab melalui pengajaran Bahasa Melayu kepada setiap warganegara Malaysia,” katanya.

Jelas beliau, tulisan Jawi ada disebut dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan dan jika dirujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan kepada seksyen berkenaan, maka tulisan itu menjadi sebahagian daripada bahasa kebangsaan.

Oleh itu, Harussani menggesa masyarakat di negara ini agar tidak terpengaruh dengan desakan oleh pihak-pihak yang mempersoalkan pengenalan tulisan Jawi di sekolah-sekolah.

“Maka dengan itu, saya menggesa dan menyeru seluruh warganegara agar tidak terpengaruh dengan desakan tersebut yang dilihat menggangu gugat keamanan nasional dan perpaduan kaum,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Komunia dah memerentah malaysia semua melayu dalam PH bisu kaku puiiiiii…. Makan gaji buto kooo

Comments are closed.