Ajax memberi lampu hijau kepada pemainnya untuk meninggalkan kelab ekoran minat Arsenal mendapatkan khidmat pemain Maghribi yang berbakat itu Januari ini.

LONDON – Arsenal menerima suntikan dalam usaha membeli pemain Ajax, Hakim Ziyech apabila bintang sayap itu dilaporkan dibenar meninggalkan Ajax Januari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu menarik perhatian beberapa kelab elit Eropah selepas mempamerkan aksi menakjubkan dengan membawa kelab itu ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah pada musim lalu.

Dalam pertemuan pada November menentang Chelsea, pemain itu memainkan peranan penting untuk mengikat pasukan Liga Perdana Inggeris tersebut 4-4.

Ziyech merupakan pemain utama membantu Ajax menjulang gelaran Eredivisie.

Laporan di Itali mendakwa bintang antarabangsa Maghribi itu telah diberi lampu hijau oleh kelab untuk meninggalkan Amsterdam.

Namun Ajax hanya membenarkan pemain itu meninggalkan kelab untuk liga lain sekiranya mana-mana pasukan berminat mendapat khidmatnya dengan  memenuhi nilai klausa pelepasan yang ditetapkan.

Ziyech menjaringkan 21 gol bersama Ajax dalam semua perlawanan musim ini. – MalaysiaGazette