seramai 24 orang terbunuh dan hampir 2,000 rumah musnah apabila kebakaran hutan itu telah memusnahkan tiga negeri di Australia melibatkan kebakaran kira-kira lima juta hektar tanah.

SYDNEY – Australia menyatakan komitmen untuk memperuntukkan perbelanjaan tambahan A$2 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang bagi membangunkan semula negara selepas kebakaran hutan melemahkan negara berkenaan.

Perdana Menteri, Scott Morrison dalam satu sidang media berkata, kerajaan akan membayar “apa jua kos” bagi memulihkan semula keadaan akibat kebakaran tersebut yang dijangka berlangsung untuk beberapa minggu atau bulan akan datang.

Kira-kira A$500 juta dana akan diperuntukkan bagi tahun kewangan berakhir Jun 2020 ini manakala AS1 juta lagi akan diperuntukkan untuk tahun kewangan 2020/21 manakala baki A$500 juta lagi untuk tahun kewangan 2021/22.

Kerajaan kata Morrison, akan menyediakan peruntukan tambahan sekiranya diperlukan.

Dalam pada itu, Malaysia selaku hos bagi APEC 2020 menzahirkan rasa simpati kepada Australia yang dilanda kebakaran hutan sehingga melemahkan ekonomi di kawasan tenggara negara berkenaan.

Ucapan tersebut disampaikan melalui Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Darell, setiap ekonomi sangat terdedah kepada ancaman akibat perubahan cuaca dan disebabkan itu, kesemua ekonomi APEC perlu sentiasa bersedia untuk menguruskan situasi berkenaan secara persendirian sebagai sebuah ekonomi dan secara bersama-sama sebagai sebuah rantau.

“Bencana alam sebegini memberikan cabaran besar kepada rangkaian bekalan global, menjejaskan kesihatan dan mobiliti di samping mengancam nyawa haiwan serta spesis-spesis hidupan liar terancam,” katanya. – MalaysiaGazette