Dr. Lee Boon Chye

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah berjaga-jaga di pintu masuk negara dan akan segera bertindak terhadap penumpang udara dari Wuhan yang menunjukkan tanda-tanda sakit selepas merebaknya virus pneumonia di kota China itu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye bagaimanapun berkata, setakat ini tiada petunjuk bahawa virus itu merebak sesama manusia.

Walaupun pihak China masih melakukan siasatan terhadap penyakit itu, tetapi sudah timbul kekhuatiran orang ramai yang membayangkan kemunculan semula SARS yang pernah mengancam dunia pada 2002 dan 2003.

Boon Chye berkata, pihak berkuasa Malaysia mengekalkan komunikasi yang kerap dengan pihak Beijing dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memperoleh maklumat terkini.

“Kami memantau rapat perkembangan di Malaysia dan juga di Wuhan. Setakat ini, tidak berlaku kes jangkitan antara manusia,” katanya ketika dihubungi Sinchew Daily pada Sabtu.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan menafikan berlaku wabak Influenza A di Kuala Lumpur seperti yang disebarkan dalam kalangan warganet.

Menurut kementerian itu, sebaran maklumat dalam media sosial bahawa hospital kekurangan katil dan ubat berikutan wabak itu adalah tidak benar.

“Ini berita palsu yang tersebar selama ini dalam Internet dan Kementerian Kesihatan perlu memberi penjelasan setiap tahun,” kata Setiausaha Akhbar Menteri Kesihatan, Ismail Amsyar Mohd. Said.

Sementara itu, Sinchew Daily melaporkan, sebaran dalam Internet bahawa meminum air suam secara berterusan  dapat mengelakkan selesema adalah tidak berasas dan tidak terbukti secara saintifik. – MalaysiaGazette