Pasar Chow Kit masih menjadi tarikan orang ramai untuk mendapatkan bekalan makanan mentah.

KUALA LUMPUR  – Walaupun halangan luar serta ketidaktentuan masih wujud, Alliance DBS Research menjangkakan pertumbuhan 2020 Malaysia akan disokong oleh permintaan dalam negeri – perbelanjaan swasta dan sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Firma penyelidikan itu dalam notanya berkata, pertumbuhan dalam negara kasar (KDNK) diunjurkan pada 4.5 peratus tahun ini, merosot sedikit daripada 4.6 peratus yang dianggarkan untuk 2019.

“Dari segi fiskal, kami percaya pembaharuan fiskal kerajaan dalam Belanjawan 2020, terutama subsidi bahan api bersasar dan rangsangan jangka pendek susulan pelaksanaan semula projek mega seperti Landasan Kereta Api Pantai Timur, projek penambakan laut untuk pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang serta Lebuh Raya Pan-Borneo, mampu menjana aktiviti ekonomi dan mengukuhkan pelaburan dan pengunaan swasta Malaysia.

“Kami juga menjangkakan kerajaan akan memenuhi sasarannya untuk mengurangkan defisit fiskal negara kepada 3.2 peratus daripada KDNK pada 2020 (2019: 3.4 peratus; 2018: 3.7 peratus), berdasarkan komitmennya terhadap penyepaduan fiskal dalam tempoh beberapa suku kebelakangan ini.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan terus dipacu oleh aktiviti sektor swasta pada 2020, terutama perbelanjaan penggunaan swasta.

Ini disokong oleh inisiatif dan projek kerajaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, selain dasar pelonggaran monetari Bank Negara Malaysia yang dapat memberikan rangsangan mampan kepada ekonomi tahun depan.

Alliance DBS juga menjangkakan komitmen berterusan kerajaan dalam inisiatif seperti Keperluan Asas 100 (BA 100) yang bermatlamat membendung kenaikan kos sara hidup bagi meningkatkan kuasa beli isi rumah.

Program BA 100 membolehkan pengguna membeli keperluan asas (tepung, gula, minyak masak dan beras) pada harga 10 hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

“Secara menyeluruh, kami menyemak semula unjuran ke atas inflasi utama bagi 2020, kepada 2.0 peratus tahun ini, lebih rendah berbanding 2.0 – 2.5 peratus unjuran sebelumnya, terutama disebabkan oleh program subsidi petrol yang ditangguhkan yang dijangka mengheret tekanan inflasi keseluruhan pada bulan akan datang (2019: +0.6 peratus tahun ke tahun) “.

Mengenai dasar monetari, BNM memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari November (MPC).

BNM berkata, tahap OPR semasa masih akomodatif dan menyokong ekonomi domestik walaupun ekonomi dan perdagangan global lemah, selain risiko penurunan luar yang semakin meningkat.

“Kami percaya bahawa keputusan BNM untuk mengekalkan kadar OPR itu adalah berdasarkan pertumbuhan KDNK yang masih berdaya tahan selain trend inflasi yang kembali norma sejak suku kebelakangan. Bagaimanapun, kami menjangkakan satu penurunan akan dibuat pada 1Q20 bagi meningkatkan lagi aktiviti dan pertumbuhan domestik di tengah-tengah kedudukan ekonomi global yang mencabar,” katanya.

Di pasaran buruh, firma penyelidikan itu mengunjurkan prestasi yang stabil, dengan jumlah pekerja meningkat kepada 15.3 juta berbanding 15.1 juta tahun lepas.

Enam puluh dua peratus disumbangkan oleh sektor perkhidmatan, 16.2 peratus daripada sektor perkilangan dan 12.2 peratus daripada sektor pertanian, katanya. – MalaysiaGazette