Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi membela diri dalam kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kembali memberikan keterangan kes pembelaan SRC International Sdn Bhd yang sudah masuk hari ke-66.

Seperti biasa Najib sampai dalam keadaan tenang dan tersenyum sambil dialu-alukan oleh para penyokongnya di perkarangan Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada jam 8.50 pagi.

Sejurus selepas prosiding bermula pada jam 9.20 pagi di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, peguam pendakwa, Datuk V Sithambaram memulakan sesi soal balas.

Bagaimanapun suasana sedikit tegang apabila Sithambaram memohon agar Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dikenakan tindakan kerana terdapat percanggan kenyataan dalam keterangan beliau di mahkamah dan ketika disoal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sithambaram: Soalan saya, adakah sebelum ini anda mengatakan anda telah membaca, melihat dan menandatangani dokumen berkaitan SRC sebelum ini dengan SPRM?

Najib: Saya perlu lihat balik keterangan tersebut.

Sithambaram: Adakah dalam keterangan sebelum ini dengan SPRM semasa siasatan anda mengaku demikian?

Najib: Saya perlu lihat balik keterangan.

Sithambaram kemudian memohon kepada Mohd Nazlan agar Najib dikenakan tindakan kerana memberi kenyataan bercanggah daripada keterangan sebelum ini.

“Saya ingin mohon kepada Yang Arif untuk memberi kebenaran mencabar kredibliti saksi mengikut Seksyen 145 (1) dan Seksyen 155 (C) Akta Keterangan.

“Najib sendiri mengaku terdapat percanggahan serius dalam kenyataan saksinya berbanding apa yang diberitahu kepada SPRM sebelum ini,” katanya.

Peguam bela, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah kemudian bangkit berhujah tentang mengapa perkara itu dibangkitkan kerana sebelum ini Najib sudah memberikan penjelasan beliau berhubung tuduhan tersebut.

Malah Shafee memohon kepada hakim supaya dapat memberikan masa sehingga satu jam supaya pihaknya dapat menyediakan hujah mengapakah tindakan ke atas Najib pada ketika ini bercanggah dengan undang-undang.

Sithambaram bagaimanapun tetap berpegang dengan pendiriannya bahawa penjelasan Najib sebelum ini bukan sesuatu yang jelas dan boleh dianggap sebagai satu penjelasan.

Bagaimanapun, Mohd Nazlan kemudian memberikan masa setengah jam kepada kedua-dua pihak untuk menyediakan hujah masing-masing sebelum prosiding bersambung jam 11 pagi ini.

Antara dokumen yang disebut termasuk minit mesyuarat SRC International yang berkaitan pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2012.

Ini kerana sebelum ini, Najib pernah memberitahu SPRM bahawa  tandatangan kelihatan seperti miliknya namun kini meragui keaslian tandatangan pada dokumen itu.

Prosiding bersambung sebentar lagi. –MalaysiaGazette