Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR- Para pemimpin dan ahli politik diingatkan supaya tidak memainkan isu-isu perkauman atau keagamaan yang boleh menggugat perpaduan dan mengancam keselamatan negara.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindak tanduk mereka dalam memainkan isu-isu sensitif itu membebankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak akhir-akhir ini.

Katanya, sebagai pihak berkuasa menjamin keselamatan negara daripada ancaman keganasan, fitnah perkauman dan keagamaan pihaknya akan menangani perkara itu secara serius.

Menurutnya, segala tindak tanduk dalam aktiviti sensitif berkenaan akan disiasat menerusi kertas siasatan dan akan mereka yang terbabit akan dipanggil memberi keterangan sebelum dirujuk kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Saya merayu kepada ahli-ahli pemimpin politik agar lebih memahami dinamik negara ini yang subur dengan pelbagai kaum dan agama, mesti hormati dan menggunakan kepelbagaian budaya untuk majukan negara.

“Ahli-ahli politik guna kebijaksanaan dan banyak kesabaran, berhemah dengan memenuhi prinsip demokrasi tapi jangan lakukan aktiivii sakiti hati orang seolah-olah mencabar pihak berkuasa.

“Kita tidak akan berkompromi dan polis akan ambil pendekatan dan bertindak seadilnya demi jaga keamanan dan keharmonian keselmatana negara,” katanya dalam sidang media Pencapaian 2019 dan Sasaran 2020 PDRM di Bukit Aman hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Mansor, Pengarah 10 jabatan tertinggi PDRM Bukit Aman antaranya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed.

Tambah beliau, tindakan ahli politik yang memainkan isu sensitif seumpama memaksa warga kerja PDRM bertugas lebih masa demi jaga keamanan sehingga terpaksa mengorbankan cuti berehat hujung tahun berbanding orang awam lain yang menikmati cuti hujung tahun.

“Ini bukan isu remeh, duduk dalam parlimen bertepuk bertampar, tetapi di luar lain pula.

“Maka matlamat untuk 2020 adalah PDRM bangkit semula sebagai pihak berkuasa yang dihormati seperti zaman awal selepas negara mengecapi kemerdekaan.

“Matlamat PDRM 2020 ialah kembali dihormati seperti zaman Parti Komunis Malaya dulu polis dan tentera diancam dari pelbagai sudut sehingga rakyat bersandar harapan dan hormati PDRM sepenuhnya ketika itu,” katanya. – MalaysiaGazette