Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna untuk membayar bil elektrik mereka di saluran rasmi bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Terdapat tiga saluran utama bagi pengguna membayar bil elektrik mereka iaitu di kiosk atau kaunter Kedai Tenaga di seluruh negara, secara dalam talian menerusi portal myTNB  dan melalui aplikasi mudah alih myTNB yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store atau Apple App Store.

Ketua Pegawai Retail TNB, Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, pengguna juga boleh membuat bayaran menerusi saluran alternatif seperti perbankan dalam talian (onlinebanking) dan JomPay; di kaunter Pos Malaysia, rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven, Kedai Mesra Petronas, rangkaian kedai 99 Speedmart, dan kios PayQuick.

“Untuk kemudahan pengguna, mereka juga boleh mendaftar untuk pembayaran bulanan secara debit terus menerusi kad kredit atau akaun bank.

“Pastikan resit pembayaran diterima dan disimpan sebagai bukti bagi setiap transaksi,” katanya.

Dalam pada itu, Ir. Megat mengingatkan pengguna agar sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan tindakan sesetengah pihak yang menyamar sebagai ejen kutipan bayaran bil TNB.

“Kami masih menerima aduan daripada pengguna mengenai sindiket penipuan pembayaran
bil elektrik.

“Antara taktik penipuan termasuk menawarkan diskaun atas jumlah bil elektrik sekiranya membuat pembayaran melalui mereka atau membuat panggilan telefon menggesa pengguna membayar tunggakan bil ke akaun bank tertentu untuk mengelakkan bekalan elektrik dipotong,” jelas Ir. Megat.

Bagi pengguna yang mempunyai tunggakan bil elektrik, TNB telah melantik agensi tertentu sebagai Ejen Kutipan Hutang yang rasmi.

Ejen Kutipan Hutang yang dilantik oleh TNB akan menghubungi pengguna untuk memberi peringatan mengenai bil yang tertunggak.

Namun, pembayaran bagi tunggakan tersebut masih perlu dibuat melalui saluran pembayaran rasmi TNB.

Pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 untuk sebarang pertanyaan mengenai akaun mereka. Senarai penuh saluran pembayaran rasmi TNB boleh didapati di www.tnb.com.my/residential/payment-methods/. – MalaysiaGazette