Zuraidah Kamaruddin. foto SYAFIQ AMBAK, 07 JANUARI 2020

PUTRAJAYA – Kesemua 155 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan menerima peruntukan khas daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membina kawasan khas merokok.

Menurut menterinya, Zuraida Kamaruddin, kementerian akan memperuntuk RM1 juta kepada PBT bagi tujuan itu.

“Kita bina kawasan khas merokok untuk memuaskan hati perokok dan menunjukkan bahawa kerajaan prihatin dengan keperluan mereka kerana telah dilarang untuk merokok di premis-premis makanan.

“KPKT sediakan fasiliti ini agar mereka boleh menerima polisi larangan merokok. Ini cuma tempoh masa sahaja, beri masa kepada perokok dalam dua tahun untuk mereka terima,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Langkah bagi pembinaan kawasan merokok khas ini adalah bagi menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan berhubung arahan larangan merokok di semua tempat makan awam yang bermula 1 Januari lalu.

Menurut Zuraida, pembinaan bagi satu kawasan merokok khas diperuntukkan sebanyak RM5,000 dan harus mendapat kelulusan PBT untuk proses pembinaan.

Justeru itu, katanya pihak premis makanan dikehendaki memohon untuk pembinaan ataupun memohon kelulusan pembinaan sendiri oleh pemilik restoren.

“Jika pemilik restoran mahu membina sendiri, mereka yang akan menanggung kos pembinaan. Peruntukan RM1 juta itu untuk kawasan awam. Pihak restoran kena mohon kelulusan PBT untuk bina sendiri kawasan merokok khas,” katanya lagi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye pada Ahad lalu berkata, premis makanan tidak dibenarkan menyediakan ruang khas untuk merokok buat pelanggan di dalam kawasan operasi perniagaan mereka.

Peraturan itu termasuk dalam arahan yang menetapkan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka sebagai jarak kawasan larangan merokok.

Pada 20 Disember lalu, Zuraida telah merasmikan tapak projek Senario Ampang dan Santai@Ampang Point yang dikhaskan sebagai kawasan khas merokok. – MalaysiaGazette