WASHINGTON – Pasukan bola sepak Amerika Syarikat (AS) membatalkan rancangan mengadakan kem latihan musim sejuk di Qatar berikutan pergolakan di Timur Tengah.

“Berikutan keadaan di rantau itu, US Soccer telah memutuskan untuk membatalkan perjalanan ke Qatar untuk kem latihan pasukan kebangsaan lelaki yang dijadual pada Januari ini,” kata US Soccer dalam kenyataan, lapor Reuters.

Pada Jumaat lalu, pemerintah dan pemimpin tentera Iran mengancam untuk membalas dendam berikutan serangan udara yang dilakukan AS ke atas lapangan terbang Baghdad mengakibatkan komander tentera elit Iran Qassem Soleimani, terbunuh.

Jurulatih AS, Gregg Berhalte, telah menyenaraikan 25 pemain untuk kem latihan yang dijadual berlangsung selama 20 hari, bermula semalam.
Pasukannya dijadual bermain tanpa kehadiran penonton di Aspire Academy, Doha sebelum pulang bagi menghadapi Costa Rica di Carson, California pada 1 Februari ini.

Perlawanan tersebut akan diteruskan seperti dirancang, kata US Soccer sambil menambah kini mereka berusaha untuk menggantikan perlawanan yang dibatalkan itu.

“Kami sedang bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Qatar bagi mencari peluang pada masa depan untuk pasukan kami menimba pengalaman di kemudahan berkelas dunia di Qatar,” kata US Soccer.

Qatar akan akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 dan perlawanan pertama kempen kelayakan AS akan bermula September ini.

AS bergelut untuk melayakkan diri ke Qatar selepas tidak beraksi pada Piala Dunia lalu di Rusia. – Agensi