Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman bersama penyokongnya selepas hadir ke mahkamah bagi membela diri dalam kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 07 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR –  Kerap mengatakan kepada mahkamah bahawa tandatangannya berpotensi dimanipulasi dan dipalsukan, Datuk Seri Najib Razak diasak Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram untuk memberitahu Mahkamah Tinggi siapa dalam SRC International Sdn Bhd yang berani dan mampu bertindak sedemikian.

Bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak tahu siapa yang berkemampuan bertindak sedemikan untuk  semua urusan khususnya pindahan dana daripada syarikat tersebut.

Sithambaram: Datuk Seri beberapa kali mengatakan dalam mahkamah bahawa tandatangan anda boleh dimanipulasi. Sekarang saya mahu tanya siapa dalam syarikat itu yang ada kapasiti untuk memanipulasikan tanda tangan anda?

Najib: Saya tidak tahu.

Sebelum menjawab soalan tersebut Najib berkata, bukan sahaja beliau membuat dakwaan seperti itu.

Malah bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin ketika menjadi saksi sebelum ini juga pernah berkata bahawa beliau tidak menolak kemungkinan tandatangannya dipalsukan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil pada surat pindahan wang ke dalam dua akaun anak syarikatnya.

Terdahulu, Najib mendakwa dokumen itu mungkin dipalsukan kerana beliau tidak ditunjukkan sebarang minit mesyuarat SRC International untuk ditandatangani.

Ditanya sama ada beliau melantik mana-mana pakar untuk memeriksa ketulenan tandatangan yang didakwa miliknya pada dokumen itu, Najib berkata, beliau tidak ingat waktu yang tepat iaitu ketika pendakwaan terhadapnya berlangsung.

Pertikaian mengenai kesahihan tandatangan bekas Perdana Menteri itu tercetus apabila beliau mendedahkan tandatangannya dipalsukan dalam minit mesyuarat pemegang saham SRC International.

Namun Najib berkata, beliau tidak membuat laporan polis tentang perkara itu dan dalam masa sama memaklumkan tidak membangkitkan perkara tersebut kepada peguam belanya.

Sithambaram: Adakah anda memaklumkan kepada peguam bela anda bahawa dokumen seperti yang anda dakwa mengandungi tandatangannya yang dipalsukan tidak sepatutnya wujud?

Najib: Kami ada membincangkannya, ya.

Sithambaram: Oleh kerana dokumen itu tidak wujud, adakah anda buat laporan polis?

Najib: Tidak, berikutan perbicaraan sedang dijalankan.

Baru-baru ini pihak pendakaan membuat permohonan mencabar kredibiliti Najib kerana dianggap telah menyediakan versi berbeza dalam keterangannya kepada SPRM dan kepada mahkamah.

Ia berkaitan beberapa dokumen berkaitan SRC International, yang kini dipertikaikan Najib di mahkamah dengan berkata beliau meragui kesahihan tandatangan yang menyerupai tandatangannya di atas kertas itu.

Namun mahkamah menolak permohonan pendakwaan untuk membicarakan Najib dalam prosiding kerana jelas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, percanggahan yang dikatakan pihak pendakwaan itu boleh dimaafkan dan beas Perdana Menteri itu juga telah memberi penjelasan mengenainya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.