Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi membela diri dalam kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 07 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berkata tindakannya tidak memulangkan RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd yang masuk ke akaunnya adalah kerana siasatan berkenaannya sedang dijalankan.

Meskipun terkejut dengan kemasukan wang tersebut namun bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak boleh terus memulangkannya sebelum siasatan selesai pada waktu itu.

Beliau menyatakan demikian ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram.

Sithambaram: Shamsul kata, kamu menyatakan rasa terkejut apabila ia (RM42 juta) dibayar ke akauan kamu.

Najib: Ya.

Sithambaram: Kalau begitu, perkara logik yang perlu dilakukan ialah memulangkan wang berkenaan (kepada SRC).

Najib: Ia tertakluk kepada siasatan.

Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Dr Shamsul Anwar Sulaiman sebagai salah seorang saksi perbicaraan kes SRC pada tahun lalu memberitahu mahkamah bahawa Najib terkejut selepas dimaklumkan wang SRC masuk ke dalam akaunnya.

Terdahulu Najib seperti sebelum ini menyatakan bahawa beliau tidak tahu wang berjumlah RM42 juta daripada SRC International dimasukkan ke dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.

Najib: Seperti mana saya katakan di sini, ia masuk ke akaun saya, tapi bukan dalam pengetahuan saya.

Sitham: Saya ingin tahu sama ada memang wujud kelayakan.

Najib: Saya menyatakannya jadi ia sangat jelas, pada masa itu saya tidak tahu ia adalah wang SRC kerana ia datang melalui perantara. Saya tidak tahu ia adalah wang SRC semasa waktu ia berlaku. – MalaysiaGazette