KIMANIS – Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau perlu bertanggungjawab dalam isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang bakal dilaksanakan pada Jun ini.

Bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan, isu PSS tidak akan timbul sekiranya Madius tidak lompat parti dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Madius Tangau derhaka kepada parti, bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) tapi lompat. Kalau dia tidak lompat tidak mungkin isu PSS ini akan timbul.

“Jadi orang yang bertanggungjawab terhadap isu PSS ini adalah Madius Tangau, dia gadai negeri kita.

“Isu PSS tidak akan timbul kalau Warisan bukan kerajaan. Orang yang pertama yang mengakibatkan darurat anak kita akan datang adalah Madius Tangau,” katanya pada sidang media selepas bermesyuarat di Pusat Operasi BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, di sini, hari ini.

Menurut Anifah, sebelum pilihan raya umum lepas, beliau sentiasa konsisten untuk memperjuangkan nasib anak-anak Sabah dan tidak mahu mereka menjadi pendatang di negeri sendiri.

“Ini bukan sebab Cina, bukan sebab Khadazan, bukan sebab Brunei tapi adalah sebab masa depan generasi akan datang di Sabah ini apabila kita warisi kepada mereka ia harus lebih baik dari hari ini.

“Tapi apa yang berlaku? Nanti menangis air mata darah pun kita tidak boleh ambil balik,” tegasnya.

Dalam pada itu, Anifah turut melahirkan rasa sedih kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal menjalankan tugas dengan telus menyebabkan beliau menjadi mangsa keadaan.

“SPR yang buat kecuaian itu mengapa saya menjadi mangsa? Saya berterima kasih kepada rakyat Kimanis yang mengundi saya.

“Saya tertanya-tanya kenapa SPR tidak merayu sedangkan kesilapan itu adalah kesilapan mereka dan mereka boleh jelaskan dalam mahkamah.

“Jadi kalau saya bertanding semula seolah-olah saya mengiktiraf keputusan mahkamah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette