Kemenangan kali pertama Mane selepas menewaskan rakan sepasukan, Mohamed Salah dan bintang Manchester City, Riyad Mahrez.

LONDON – Bintang sensasi Liverpool dari Senegal, Sadio Mane dinobat sebagai Pemain Terbaik Afrika 2019.

Kemenangan kali pertama Mane itu cukup bermakna selepas menewaskan rakan sepasukan, Mohamed Salah dan bintang Manchester City, Riyad Mahrez.

Mane menerima trofi itu daripada Samuel Etoo iaitu legenda Afrika yang pernah mengiktiraf secara peribadi Mane dan Salah sebagai pemain terbaik di dunia.

Sementara itu, Salah terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan Mahrez berada di tangga ketiga.

Mane kini berada di kemuncak prestasi terbaik sejak beberapa musim lalu selepas membantu Liverpool menamatkan tahun 2019 dengan tiga piala antarabangsa.

Dia menjadi nadi penting Liverpool dalam aksi kebangkitan luar biasa berhadapan dengan Barcelona di Anfield, ketika itu Liverpool bermain tanpa Mo Salah dan Roberto Firmino.

Tahun lalu, Mane membantu negaranya mara ke final Piala Afrika 2019.

Pemain berusia 27 tahun itu berada dalam senarai keempat pada majlis Ballon d’Or yang lalu.

Mane menjadi pemain Senegal kedua memenangi Anugerah Pemain Terbaik Afrika selepas seorang lagi bekas pemain Liverpool iaitu El Hadji-Diouf pada 2001 dan 2002.

“Secara jujur, saya lebih suka bermain bola daripada bercakap di hadapan ramai orang ternama.

“Saya berterima kasih kepada keluarga, terutama sekali bapa saudara saya yang berada di sini pada hari ini.

“Hari ini adalah paling bermakna buat saya dan saya juga nak ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Senegal yang mengundi untuk saya.

“Saya berasal dari satu perkampungan kecil bernama Bambali dan saya yakin mereka di sana ketika ini sedang mengikuti siaran ini,” katanya ketika memberi ucapan di atas pentas. – MalaysiaGazette