Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Ketegangan terkini berkaitan sempadan dan hak perairan di kawasan pertikaian Laut China Selatan di Pulau Natuna antara China dan Indonesia harus diselesaikan secara diplomasi dan aman bagi mengelakkan keadaan menjadi bertambah rumit.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bimbang dengan situai itu berkata, China dan Indonesia masing-masing perlu menghentikan tindak balas serta provokasi yang boleh memburukkan keadaan.

“Ketegangan ini bukan hanya memburukkan keadaan di kawasan itu, tetapi akan menjejaskan hubungan dua hala terutama antara negara ASEAN dan China yang sejak sekian lama erat dari segi ekonomi, kebudayaan dan sejarah,” katanya dalam kenyataan medianya.

Justera itu, Abdul Hadi menggesa China dan Indonesia menggunakan saluran diplomatik dan rundingan untuk menyelesaikan pertikaian itu.

Pada masa sama, kata beliau, semua pihak harus menghormati undang-undang antarabangsa untuk mengelak pertikaian itu menjadi bertambah buruk dan menjejaskan kestabilan Asia Tenggara mahupun Laut China Selatan.

Beliau turut menyarankan semua pihak mengamalkan semangat setiakawan ASEAN dan China yang telah lama terjalin.

“Konflik dan konfrontasi tidak akan menguntungkan mana-mana pihak, tetapi akhirnya ASEAN dan China yang akan rugi,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, Laut China Selatan wajar kekal aman dan bebas konflik serta pertikaian yang mampu bertukar menjadi medan tempur dan perang.

“Perkara seperti ini (perang) harus dielakkan kerana dikhuatiri akan menjejaskan kestabilan Asia Tenggara sama ada dari sudut geopolitik atau ekonomi,” katanya.

Pertikaian kedua-dua negara itu bermula pertengahan Disember lalu, selepas kapal pengawal China mengiringi kapal nelayan negara itu memasuki perairan di kepulauan Natuna di utara Indonesia, menyebabkan Jakarta memanggil segera duta besar Beijing.

Isu ini menjejaskan hubungan dua hala Indonesia dengan China, rakan dagangan terbesar dan pelabur utama bagi negara terbesar di Asia Tenggara itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast