Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – “Mesti ada asas, bukti dan keperluan. Jika tidak ada asas, tidak ada keterangan dan saksi, tempat dan semuanya tidak betul, maka hendak buat ujian apa?” soal Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya gesaan supaya beliau menjalani ujian poligraf.

Gesaan beberapa pihak itu timbul selepas bekas pembantu penyelidik Anwar, Muhammad Yusoff Rawther dipanggil oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk menjalani ujian poligraf pada 17 Disember lalu.

Yusoff merupakan individu yang membuat laporan polis mendakwa menjadi mangsa salah laku seks oleh Anwar pada Oktober 2018.

Menurut Anwar gesaan itu tidak sepatutnya berbangkit kerana dakwaan salah laku seks itu tidak berasas sama sekali.

Ditanya sama ada pihak polis ada menanggilnya untuk menjalani ujian tersebut Anwar berkata, sehingga kini tiada arahan seumpama itu, namun beliau sentiasa memberi kerjasama apabila diperlukan.

“Mereka tidak ada minta, jadi kenapa bangkitkan isu.

“Kamu perlu faham prinsip kedaulatan undang-undang dan keadilan, sesiapa sahaja boleh buat tuduhan, tetapi jika tiada sebarang asas ia tidak boleh menjadikan seseorang itu defensif dalam isu ini,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan ucaptama di International Unity In Diversity Conference 2020 di sini, hari ini.

Baca: Yusoff Rawther puas hati dengan ujian poligraf – Haniff

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau tahu siapa di sebalik tuduhan serangan seksual yang dikenakan terhadapnya serta permainan pihak yang berkenaan.

“Saya tahu rentak permainannya. Saya tahu sesetengah pemain menggunakan orang-orang ini. Saya fikir biar polis selesaikannya,” katanya.

Berbanding kes-kes lain, katanya, beliau secara suka rela mahu menyelesaikan kes itu segera dan menjemput mereka ke rumah malah beliau sendiri pergi ke ibu pejabat polis menemui mereka.

Manakala Anwar pula tampil memberi keterangan selama tiga jam pada Khamis 12 Disember lalu untuk menyegerakan siasatan polis dalam kes yang disiasatan dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bersumpah, xmau!..dok kandang saksi,xmau!..,poligraf,xmau!..pusing crita, mau2!..itulah dsaoi..pakar swing+

Comments are closed.