R Sri Sanjeevan (kanan) kelihatan gembira selepas keluar dari Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pagi ini.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) R Sri Sanjeevan dibebaskan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mendedahkan kandungan laporan polis di blognya 5 tahun lalu.

Hakim, Norshila Kamaruddin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sanjeevan.

“Pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Tertuduh dilepaskan dan dibebaskan,” perintah Norshila.

Sanjeevan, 34 didakwa pada 17 Disember 2018 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan itu.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim.

Mengikut kertas pertuduhan, Sanjeevan yang dikenali sebagai pemilik blog https://srisanjeevanr.blogspot.my, didakwa mendedahkan kandungan laporan polis kepada orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di 69-2, Jalan Puteri, Bandar Puteri, Puchong, jam 9.07 malam, 13 November 2015.

Sanjeevan dituduh di bawah Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 203A(2) kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Peguamnya, S Preakas ketika ditemui media mengesahkan pembebasan itu.

Katanya susulan kegagalan pendakwa raya mengemukakan bukti yang kukuh, pihaknya berharap tiada rayuan dibuat pihak lawan.

“Sanjeevan telah dibebaskan dan dilepaskan dalam kes ini.

“Memandangkan pihak pendakwa gagal buktikan dalam kes ini, kami minta mereka tidak membuat rayuan terapi terpulang kepada mereka, kalau buat rayuan kami bersedia berdepan,” katanya. – MalaysiaGazette