Temubual bersama Presiden Peaceful of Southern Boundary Organization atau lebih dikenali sebagai PASBO, Sulaiman Chealae di Pattani, Thailand. foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2020.

PATTANI – Wilayah di selatan Thailand akan terus bergolak jika pihak-pihak yang berjuang untuk perdamaian terdiri daripada barisan generasi terdahulu.

Ini kerana, mereka tidak akan memahami apa yang dimahukan oleh generasi pada hari ini, menjadikan hasrat untuk melihat tiga wilayah di negara tersebut kembali aman seperti sediakala hanya satu impian.

Pandangan itu dilontarkan aktivis muda daripada sebuah badan NGO, Sulaiman Chealae apabila menyifatkan generasi terdahulu  sebagai sangat beriya-iya hingga hak generasi muda cuba dinafikan.

Katanya, rundingan yang dibuat oleh kedua-dua pihak untuk merintis perdamaian pada ketika ini dibuat oleh generasi lama sedangkan golongan yang sepatutnya mendapat manfaat adalah anak-anak muda.

“Di sini kedua-dua pihak yang berunding untuk merintis damai di Narathiwat, Yala dan Pattani adalah generasi lama.

“Macam mana usaha ini hendak mencapai matlamatnya jika golongan muda tidak disertakan bersama, sedangkan yang menuntut hak itu adalah mereka.

“Jadi jika ini berlaku, saya tidak nampak usaha damai itu akan tercapai sampailah bila-bila,” katanya yang juga Presiden Peaceful of Southern Boundary Organization atau lebih dikenali sebagai POSBO.

Lantaran itu, Sulaiman berharap ‘orang lama’ memberi peluang kepada generasi baharu untuk merealisasikan perdamaian.

Perkara itu harus difikirkan jika semua pihak mahu melihat  keganasan yang terjadi di selatan Thailand sejak 16 tahun lalu dihentikan sama sekali – sekali gus menjadikan tiga daerah terbabit kembali harmoni.

Dengan itu, barulah kepelbagaian aktiviti dapat dijana terutama dalam meningkatkan taraf ekonomi serta menambah elok pelaburan.

Penduduk tempatan di semua peringkat tidak perlu lagi rungsing dalam mendepani hari-hari yang mereka sendiri tidak pasti.

Meskipun sebelum ini ada pihak mengaitkan situasi di selatan Thailand dengan rasa tidak puas hati kumpulan minoriti Muslim terhadap pemerintah yang merupakan penganut Buddha namun tidak kurang juga yang menyifatkan ia berpunca daripada tindakan pihak pemerintah berpusat di Bangkok.

Pemerintah dilihat cuba menghapuskan identiti kemelayuan yang diamalkan sejak sekian lama dalam kalangan majoriti penduduk di tiga wilayah di selatan negara Gajah Putih itu.

Pada masa ini, usaha untuk mengembalikan kedamaian mutlak di selatan Thailand tidak digerakkan walaupun Malaysia masih kekal menjadi perantara menamatkan konflik di tiga wilayah bergolak itu.

Data oleh badan pemikir Thailand, Deep South Watch menganggarkan kira-kira 7,000 orang yang kebanyakannya orang awam maut sejak tahun 2004.

Malaysia menjadi pengantara dalam usaha menamatkan pemberontakan di tiga wilayah bergolak, dengan terbaharu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor optimis ia boleh dihidupkan semula dengan syarat kedua-dua pihak komited ke arah itu. – MalaysiaGazette