Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin bercakap kepada media ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Kampung Binsuluk, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 09 JANUARI 2020

KIMANIS – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau adalah proksi kepada Datuk Seri Anifah Aman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Sebaliknya Mohamad atau lebih dikenali sebagai Datuk Mo menegaskan dakwaan itu hanya satu propaganda politik yang dimainkan pihak tertentu untuk meraih sokongan pengundi-pengundi.

“Jangan layan segala persepsi itu. Saya bukan orang baru dalam parti. Saya sudah jadi ketua pemuda sudah dua penggal, naib ketua bahagian satu penggal dan Adun lima tahun.

“Saya naik dari bawah. Saya bukan jenis yang tiba-tiba naik diberi tempat. Kalau macam itu mungkin kita boleh sifatkan sebagai proksi.

“Ini hanyalah satu propaganda politik yang mungkin dimainkan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab… tapi rakyat lebih tahu untuk menilai,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas berkempen rumah ke rumah di Kampung Binsulok, di sini, hari ini.

Beliau mengulas khabar angin yang tular di media sosial mendakwa sebenarnya Mohamad adalah proksi kepada Anifah susulan bekas ahli Parlimen Kimanis itu tidak bertanding kali ini. – MalaysiaGazette