KUALA LUMPUR – Dong Jiao Zong dan Jiao Zong berharap kerajaan dapat meneruskan perbincangan mencari formula penyelesaian isu Jawi walaupun pihaknya gagal hadir pada sesi dialog baru-baru ini.

Kedua-dua pertubuhan Cina itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menyambut baik usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy.

Bagaimanapun ekoran pihaknya menguruskan kerja-kerja susulan ekoran larangan penganjuran Persidangan Persatuan-Persatuan Cina yang dijadualkan pada 28 Disember 2019 termasuk mengatur dialog dengan pucuk pimpinan parti-parti pemerintah dan pembangkang pihaknya tidak menghadiri sesi dialog berkenaan.

“Dong Jiao Zong hanya menerima surat jemputan rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri melalui emel pada pagi hari perjumpaan tersebut, didapati hanya nama 12 buah pertubuhan yang dijemput manakala Jiao Zong dan nama pertubuhan-pertubuhan Melayu tidak berada dalam senarai jemputan.

“Selain daripada itu, pada hari yang sama, Dong Jiao Zong akan mengadakan satu pertemuan dengan pertubuhan muslim, maka kerana kesuntukan masa dan sebab-sebab yang tersebut, kami tidak sempat menghadiri pertemuan dengan YB Menteri (Waytha Moorthy) dan ini amat dikesali,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Bagaimanapun, seperti yang dikatakan oleh Waytha Moorthy dalam sidang media iaitu pelbagai usaha akan dijalankan untuk mencari formula penyelesaian kepada isu tulisan Jawi, pihaknya berharap kerajaan dapat meneruskan perbincangan dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan membina kepercayaan bersama supaya mewujudkan suasana yang kondusif kepada perbincangan dasar-dasar kerajaan.

“Kami mengalu-alukan segala peluang untuk bertukar pandangan dan bermuzakarah dengan semua pertubuhan yang berkaitan, termasuk pertubuhan-pertubuhan yang berlainan pandangan untuk mencari formula penyelesaian yang rasional,” ujarnya.- MalaysiaGazette