Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi membela diri dalam kes perbicaraan SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang melibatkan penyewelengan dana RM42 juta mengakui pernah menggunakan kad kredit Ambank miliknya untuk kegunaan peribadi.

Antaranya pembelian barang kemas di butik De Grisogono di Itali yang bernilai RM3.3 juta sebagai pemberian hadiah kepada isteri Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad Jassim Jaber Al Thani pada masa itu.

Ini merupakan kali pertama mahkamah diperdengarkan di mana isterinya, Datin Seri Rosmah Mansormelihat dan membeli sendiri barang-barang kemas itu.

Perkara itu ditimbulkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaran ketika soal balas dan beliau sempat bertanya berapakah jenis barang kemas telah di beli dari butik itu.

Najib memberitahu satu sahaja barang kemas telah dibeli namun kemudian Sithambaram meminta beliau menyemak kembali penyata kad kredit yang menunjukan ada 10 jenis barangan kemas pada masa sama.

Ahli Parlimen Pekan itu kemudian mendedahkan dirinya tidak begitu pasti dan perlu bertanya dengan lebih lanjut kepada isterinya.

Sithambaram: Saya faham. Perkara seperti ini wanita sahaja yang jauh lebih arif.

Najib: Saya perlu semak dengan isteri saya kerana beliau yang lakukan pembelian ini. Nampaknya seperti satu set.

Bagaimanapun Sithambaram kemudian terus mengasak Najib sambil mendakwa bahawa hadiah untuk isteri Perdana Qatar itu sengaja diada-adakan sahaja.

Malah surat ucapan terima kasih itu juga telah disediakan selepas pembelian bagi memberi penjelasan tentang barangan kemas tersebut.

Sithambaram: Saya katakan kepada anda hari ini, tidak ada sebenarnya hadiah barangan kemas untuk isteri PM Qatar. Setuju atau tidak setuju?

Najib: Tidak setuju. Tidak.

Sithambaram: Saya katakan kepada anda surat terima kasih telah diwujudkan selepas pembelian barangan kemas untuk memberi penjelasan kepada perkara tersebut. Setuju?

Najib:Tidak. Saya tidak bersetuju.

Dalam pada itu, ketika Sithambaram menyenaraikan pembelian-pembelian lain menggunakan kad kredit itu, kata Najib semua tidak tidak begitu relevan dan tidak besar jumlahnya.

Namun dakwa Sithambaram pembelian barangan peribadi itu menggunakan dana SRC International.

Najib bagaimanapun berkali-kali bertegas pembelian-pembelian itu tidak relevan dengan jumlah sedikit.

Najib: Saya memang setuju bahawa itu adalah pembelian peribadi tapi pada masa yang sama, jumlahnya sedikit dan tidak begitu signifikan.

Sithambaram: Adakah anda membuat perbandingan dengan derma yang telah diberikan oleh Arab? Ini sebenarnya jumlah besar bagi orang lain.

Najib: Ya, benar.

Perbicaraan akan bersambung pada 20 Januari hadapan. –MalaysiaGazette