A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh hilang kewibawaan selepas membuat pendedahan mengejut rakaman audio yang didakwa konspirasi berprofail tinggi.

Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin berkata, rakaman itu wajib disiasat dan diambil tindakan.

Jika tidak, orang tidak percaya, katanya.

“Jangan didedahkan untuk buat ribut dan sensasi sahaja. Wajib siasat dan ambil tindakan. Kalau tidak orang tak percaya.

“SPRM boleh hilang kewibawaan malah boleh dituduh buat fitnah,” katanya menerusi akaun Facebook hari ini.

Kadir mengulas pendedahan sembilan rakaman audio dipercayai perbualan antara bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan beberapa individu termasuk pemimpin dari Arab Saudi.

Pendedahan rakaman berdurasi keseluruhan 45 minit itu dibuat dalam sidang media khas yang dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya semalam.

Turut diperdengarkan perbualan antara Datin Seri Rosmah dan Najib.

Latheefa memberitahu, rakaman audio itu baru diterima selepas tahun baharu 2020 dan pihaknya yakin akan ketulenan suara-suara dalam audio tersebut.

Mengulas perbualan Najib dan isterinya, veteran wartawan itu berkata, beliau pernah berulang kali bagi amaran kepada Najib tentang peranan Rosmah sejak dia jadi Timbalan Perdana Menteri lagi.- MalaysiaGazette