Donald Trump

WASHINGTON – Serangan yang dilakukan Iran ke atas dua pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq tidak mencederakan askar-askarnya.

Hanya berlaku kerosakan kecil sahaja, kata Presiden Donald Trump.

Tentera Iran melancarkan peluru berpandu di pangkalan tentera menempatkan tentera AS di Iraq awal pagi semalam sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan Qassem Soleimani pada 3 Januari lalu.

“Semua tentera kami selamat dan hanya kerosakan minimum berlaku di pangkalan tentera kami,” kata Trump.

Tambahnya: “Iran nampaknya berundur, merupakan perkara baik untuk semua pihak yang terlibat dan baik untuk dunia.”

“Walaupun fakta kita mempunyai tentera dan peralatan yang hebat bagaimanapun tidak bermakna kita perlu menggunakannya,” kata Presiden AS itu yang memberi maklum balas berhubung serangan Iran ke atas dua pangkalan tenteranya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Naib Presiden Mike Pence, Setiausaha Pertahanan Mark Esper dan Setiausaha Negara Mike Pompeo dan pegawai-pegawai tentera.

Beliau menyeru kuasa-kuasa dunia untuk keluar daripada Perjanjian Nuklear 2015 dengan Iran yang mana Washington telah menarik diri dari tahun 2018 dan mahu mewujudkan perjanjian baru, satu isu yang berada di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara Washington dan Tehran.

Iran telah menolak sama sekali sebarang bentuk perbincangan.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada Iran berhubung kenyataan Trump itu.

Tetapi agensi berita separa rasmi Iran – Fars – menyifatkan kenyataan Trump itu sebagai ‘pengunduran besar daripada ancaman’. – MalaysiaGazette