KUALA LUMPUR – Pas menyambut baik dan berterima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana menangguhkan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) yang melibatkan 33 skim perkhidmatan semalam.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berharap keputusan itu konsisten dan terus dikekalkan dengan melakukan kajian untuk penambahbaikan.
Kata beliau, setelah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 – Pengukuhan Pelaksanaan Pemberian Elaun Dalam Perkhidmatan Awam diumumkan ia ditolak dalam kalangan rakyat.
Malah, katanya, ramai melahirkan simpati khususnya kepada penjawat awam yang berkhidmat dalam sektor kesihatan di negara ini.
“Mereka berada dalam kondisi underfunded’, understaffed, underpaid dan overworked,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim turut mencadangkan kerajaan menaikkan kadar elaun on call dalam kalangan doktor khususnya pegawai perubatan.
Sebahagian mereka katanya, bekerja lebih 24 jam demi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Namun, ujar beliau, kerajaan mesti peduli kebajikan para doktor, selain penambahan kakitangan dan elaun on call juga harus dinaikkan pada kadar munasabah.
“Pas mahu kerajaan membentangkan situasi sebenar nisbah doktor dan pesakit mengikut negeri kerana berdasarkan maklumat diterima, jumlah doktor di Sabah dan Sarawak sangat berkurangan berbanding jumlah pesakit,” katanya.
Sementara itu, kata Tuan Ibrahim, kerajaan juga perlu mengambil inisiatif segera menyelesaikan isu pegawai hospital yang masih lagi berstatus dan bergaji kontrak walaupun telah setahun menjadi pegawai perubatan.
Beliau berharap isu penting terutama melibatkan sektor sosial dan keselamatan negara diberikan perhatian serius oleh kerajaan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















