Federic Bulot merupakan pemain kebangsaan Gabon.

KUALA LUMPUR – Felda United sah mengikat pemain import dari Gabon, Frederic Bulot yang juga merupakan rakan sepasukan pemain Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang dalam pasukan kebangsaan negara Afrika itu.

Bulot pada zaman kanak-kanak telah menyertai akademi sebuah kelab Perancis iaitu Tours FC dan kemudian Chatearoux sebelum dilamar akademi Monaco yang telah melahirkan pemain-pemain handalan dunia seperti Kylian Mbappe, Yannick Carrasco, Thierry Henry dan lain-lain lagi.

Di peringkat antarabangsa, Bulot beraksi untuk skuad kebangsaan Perancis dalam semua peringkat umur kecuali skuad senior kerana dia akhirnya telah memilih untuk mewakili negara kelahirannya, Gabon.

Sehingga kini, pemain berusia 29 tahun itu telah mengumpul 22 kaps bersama skuad kebangsaaan.

Pernah beraksi bersama beberapa kelab ternama di Eropah seperti Monaco, Standard Liege (Belgium) dan Charlton Athletic (England), namun karier pemain tengah itu mula sedikit ‘tenggelam’ setelah dilanda kecederaan lutut yang serius sewaktu bersama kelab Perancis, Reims.

Selepas daripada itu, prestasinya mula jadi tidak menentu dan bergelut untuk mencapai tahap permainan terbaiknya.

Selepas kembali bersama kelab pertamanya di Perancis, Tours FC selama semusim, Frederick mencuba nasib untuk mengembangkan kariernya di Asia dengan menyertai kelab divisyen kedua Jepun, FC Gifu pada tahun lalu. – MalaysiaGazette