Sebahagian wakil-wakil NGO bergambar sambil memegang poster bantahan pada Sesi Townhall bersama badan bukan kerajaan (NGO) sempena Himpunan 220220 di WISMA MCA, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Sesi town hall Gabungan Kuasa Rakyat hari ini bergema dengan teriakan ‘bubar parlimen’ sehingga penganjur terpaksa mengawal keadaan bagi membendung berlakunya kekecohan.

Teriakan itu diselang seli pula dengan teriakan ‘Tun M letak jawatan’ oleh sebahagian daripada lebih 60 hadirin yang hadir pada sesi itu di Wisma MCA.

Rata-rata melahirkan rasa marah mereka dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sudah mentadbir selama hampir 20 bulan namun didakwa tidak ada sebarang kebaikan seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Kata mereka lagi, adalah lebih baik membubarkan parlimen dengan memberi laluan kepada pilihan raya umum supaya rakyat boleh mengundi kerajaan baharu.

Gabungan Kuasa Rakyat yang terdiri daripada pelbagai kumpulan aktivis serta pertubuhan bukan kerajaan akan menganjurkan satu perhimpunan ‘Himpunan 22022020’ pada bulan depan.

Penganjur yang bertindak sebagai pengelola, Pertubuhan Sahabat Erat dan Amanat Rakyat (SEDAR Malaysia) yang memulakan inisiatif itu sebelum bertukar menjadi Gabungan Kuasa Rakyat menjangka sekurang-kurangnya lebih 2,200 akan menghadiri perhimpunan pada hari itu.

Menurut Pengerusi SEDAR Malaysia merangkap jurucakap Gabungan Kuasa Rakyat, Nazrin Norani, objektif perhimpunan itu tidak lain tidak bukan supaya kerajaan mendengar tuntutan rakyat yang telah memberikan kemenangan kepada PH sebelum ini.

“Dulu sebelum PRU, mereka kata rakyat ini ‘bos’ dan mereka adalah kuli kini sebaliknya. Lepas menang, terus tukar perangai, buruk dan teruk sekali. Bukan sahaja janji malah keluh kesah serta apa yang dimahukan oleh rakyat langsung tidak didengar.

“Kini kita rakyat biasa akan turun ke jalanan untuk mereka dengar tuntutan kita. Itu sahaja. Mahu atau tidak,  mereka harus dengar. Jangan perbodohkan rakyat demi kuasa politik serta kepentingan kamu.

“Oleh itu, kita yang terdiri daripada rakyat biasa, aktivis serta NGO bergabung di bawah ‘Gabungan Kuasa Rakyat’ mendesak dan menuntut kerajaan melakukan apa yang dijanjikan sebelum ini. Biar mereka tahu apa itu kuasa rakyat.

“Kita kini dalam proses mendapatkan permit bagi perhimpunan ini nanti,” katanya.

Antara NGO yang terlibat dalam Gabungan Kuasa Rakyat  termasuk Sedar Malaysia, BeNAR Malaysia, SolMar Malaysia, Optimum, Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat (KADER) malah di jangka lebih NGO serta aktivis menyertai gabungan yang sama dalam masa terdekat.

Perhimpunan dengan tanda pagar #himpunan220220 akan di adakan pada 22 Februari 2020 di hadapan Sogo dari jam 9.30 pagi sehingga 4.30 petang pada hari itu juga akan mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menteri kabinet untuk meletakkan jawatan mereka jika berterusan melakukan kerosakan.

Selain itu, Gabungan Kuasa Rakyat akan menyenaraikan tuntutan-tuntutan yang wajib dipenuhi oleh kerajaan jika mereka benar-benar mementingkan rakyat. –MalaysiaGazette